KUALA TERENGGANU – Setiausaha  Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali menjangka Pilihan Raya Umum (PRU) Ke -13  akan diadakan lebih awal dan meletakkan April 2011 sebagai satu tempoh  masa yang paling munasabah.     Dengan jarak masa yang agak singkat itu, Buletinonline meninjau persiapan bagi kawasan-kawasan untuk menghadapi pilihanraya tersebut, dalam tempoh kurang dari setahun.
(Gambar - YDP Setiu, Ustaz Pauzi pada hari penamaan calon  PRU - 12, Mac, 2008)
Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli beranggapan tarikh April 2011 yang dilontar oleh Setiausaha Agung itu, sebagai ‘signal’ untuk jentera PAS agar lebih aktif.
Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli beranggapan tarikh April 2011 yang dilontar oleh Setiausaha Agung itu, sebagai ‘signal’ untuk jentera PAS agar lebih aktif.
Menurutnya, PAS Kawasan Dungun memulakan langkah pertama  sebagai ‘respon’ dari kenyataan tersebut, mengadakan pertemuan dengan  seluruh jawatankuasa PAS cawangan-cawangan. 
“Kita (PAS Dungun) akan mulakan dengan program pertemuan  dengan jawatankuasa PAS cawangan dan jentera parti peringkat ‘akar umbi’  termasuk Majlis Tindakan Dun (MTD).
“Kita (PAS) ada masa lebih kurang setahun dari sekarang dan  jentera parti Pemuda, Ulama’ dan Muslimat perlu lebih aktif lagi,”  ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura,  menjelaskan keperluan rakyat serta para pengundi di setiap Dewan  Undangan Negeri (Dun) wajar diambilkira dari sekarang.
Katanya, kepentingan kebajikan pengundi mesti diberi perhatian  disamping melihat kekuatan dan kelemahan parti.
Yang Dipertua PAS Kemaman, Ismail Harun berkata PAS Kemaman  akan menyusun gerak kerja parti ke arah yang lebih sistematik dan  tersusun.
Sebelum ini, katanya gerak kerja parti telah dilakukan  sepanjang masa sama ada pilihan raya tersebut cepat atau lambat.
“Kita (PAS) tidak ada masa lagi untuk ‘main-main’ (leka) dan  akan kita susun gerak kerja parti dengan lebih sistematik dan tersusun.
“Kita (PAS) selalu bersedia dan bekerja sepanjang masa tidak  kira pilihan raya itu cepat atau lambat yang penting matlamat untuk  ‘menang’ (pilihan raya),” jelasnya ketika dihubungi.
Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda berkata,  semangat bekerja di kalangan ahli parti semakin meningkat dengan  kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu, baru-baru ini.
Katanya, kemenangan tersebut bukan kerana DAP sahaja tetapi  kerjasama padu tiga parti dalam Pakatan Rakyat.
“Kita (PAS) sentiasa bersedia ‘sokmo’ (selalu) dan kemenangan  DAP-Pakatan Rakyat di Parlimen Sibu telah meningkatkan semangat jentera  parti PAS, DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).
“Masa setahun dari sekarang ini memerlukan kita (PAS) dan  rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bersiap sedia dengan tenaga dan  kewangan,” ujarnya.
Menurutnya, tarikh April 2011 itu menuntut agar jentera parti  disemua peringkat bekerja ke arah mencapai kemenangan dalam PRU Ke -13  itu nanti.
Ulasan