Ustaz Ghazali, Mantan Bendahari PAS Setiu Kembali Ke RahmatuLlah


http://buletinonline.net/images/stories/berita26/Ghazali3.JPGBatu Rakit, SETIU – Bekas calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri Batu Rakit Ustaz Ghazali Ahmad, 79, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Darat Batu Rakit di sini setelah terlantar enam tahun kerana serangan angin ahmar. 

Beliau adalah seorang tokoh veteran PAS yang juga merupakan bekas Bendahari PAS Setiu telah uzur dan tidak dapat bergerak sejak enam tahun lalu.

Allahyarham juga serta pernah menganggotai Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terenggganu pada tahun 90-an.

Beliau disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi Rabu 26 Mei 2010, ditemani isterinya, Cikgu Wan Ramlah Dato’ Dalam, 70, serta anak dan menantu.

Anak bongsu allahyarham, Saudara Ahmad Fazlillah, 29, berkata setelah diserang angin ahmar sejak September 2004, allahyarham telah terlantar kerana pangkal leher serta tulang belakang tidak dapat digerakkan.

“Allahyarham, lama sakit sejak enam tahun lalu dan dia (ayah) mengidap ‘stroke’ (angin ahmar) bermula pangkal leher, tulang belakang hingga ke kaki.

“Sejak beberapa hari lalu keadaan allahyarham semakin tenat dan meninggal dunia dihadapan ibu (Wan Ramlah) saya dan anak menantu,” ujarnya ketika ditemui.

Allahyarham dikurniakan 11 orang anak melalui perkongsian hidup dengan dua isteri yang berasingan.

Setiausaha PAS Setiu, Saudara Aminuddin Umat menyifatkan pemergian allahyarham Ustaz Ghazali merupakan suatu ‘kehilangan’ besar kepada perjuangan parti.

Katanya, sebagai tokoh veteran PAS yang lama dalam parti sudah tentu mempunyai banyak pengalaman.“Pemergian ‘arwah’ (Ustaz Ghazali) merupakan satu kehilangan besar kepada parti yang mempunyai banyak ilmu politik.“PAS Setiu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Ustaz Ghazali semoga redha dengan takdir-Nya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham semoga dicucuri rahmat bersama dengan perjuangan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS (II) Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata allahyarham Ustaz Ghazali merupakan tokoh veteran PAS lama yang istiqamah dalam perjuangan.

“Saya kenal dengan Allahyarham (Ustaz Ghazali) lama dan pernah suatu ketika bermesyuarat dan berceramah bersama beliau.

“Kami (PAS Terengganu) merasa sedih dan cukup ‘terasa’ akan kehilangan seorang tokoh veteran PAS yang disegani ini,” ujarnya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah allahyarham Ustaz Ghazali.Menurutnya, allahyarham (Ustaz Ghazali) juga seorang yang istiqamah dan gigih bekerja untuk parti.

Turut menziarahi jenazah allahyarham ialah Timbalan Pesuruhjaya (I) Terengganu dan Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda serta para penyokong dan pendokong PAS.

Ulasan