Siasat Sumber Kewangan RM1.6 juta

http://buletinonline.net/images/stories/berita28/IMG_7178.JPGChukai, KEMAMAN – Pihak berkuasa diminta menyiasat sumber kewangan berjumlah RM1.6 juta yang diagih-agihkan kepada wanita Umno negeri ini bagi tujuan kempen politik.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat berkata demikian mengulas laporan akhbar tempatan mengenai pengumuman Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berkaitan perkara tersebut.

”Saya minta pihak berkuasa samada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar  menyiasat sumber dana kempen politik yang sangat besar itu,”katanya ketika ditemui dalam program bersama ‘Bolasepak Piala Dunia’ dengan anak-anak muda Kuala Kemaman, semalam.


Beliau juga menggesa pihak berkenaan supaya memantau perbelanjaan yang digunakan atas wang tersebut kerana bimbang ia mungkin menjadi satu ‘rasuah’ politik Umno untuk memancing undi.

”Saya harap pihak berkuasa khususnya SPRM benar-benar telus dalam mewujudkan suasana ‘integriti’ dalam politik, pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga diminta meneliti setiap perkara bagi memastikan proses pendaftaran pengundi tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor lain,”tegasnya.

Menurutnya, Ahmad Said mengumumkan wang sebanyak RM1.6 juta itu adalah untuk gerak kerja K5 wanita yang difahami sebagai ‘seorang ahli wanita memegang lima orang pengundi’.

”Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Umno menggunakan pengaruh wang untuk mengikat pengundi,”ujarnya.

Menyentuh aktiviti kemasyarakatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, beliau yang juga Pengarah DUN terebut berkata program ‘Bolasepak Piala Dunia’ bersama anak-anak muda mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Pihak DUN dan Peti Undi Kuala Kemaman mengambil inisiatif memasang skrin besar bagi memberikan kemudahan kepada anak-anak muda peminat bolasepak piala dunia menonton perlawanan sukan itu,

”sambil memonton, makanan ringan seperti bubur kacang diedarkan secara percuma kepada mereka,”katanya.

Disamping itu, kata Hanafiah, ia dapat membendung anak-anak muda dari berpeleseran dan merapatkan hubungan silaturrahim diantara mereka.

Ulasan