Penanam Padi Kampung Jelapang Tuntut Gantirugi

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/padijelapang.gifSETIU - Lebih 20 orang petani Projek Tanaman Padi Berkelompok Kampung Jelapang Mukin Hulu Nerus disini menuntut kerajaan membayar atas kerugian yang mereka alami.

Tuntutan gantirugi itu dikemukakan berikutan hasil pendapatan dari penanaman padi mereka pada musim 2009 rendah kerana kerosakan yang disebabkan kecuaian pihak-pihak berkuasa terbabit.

Wakil penanaman padi, Abdul Rahman Awang, 59, ketika ditemui berkata, antara sebab hasil tanaman padi mereka rendah kerana kelewatan jentera padi menuai padi pada musim lalu.

Menurutnya, sebahagian besar padi yang ditanam dituai lewat melebihi 120 hari, bahkan sehingga melepasi 140 hari kerana kelewatan jentera tersebut.

Katanya, kecuaian tersebut adalah disebabkan oleh peranan ketua-ketua blok tidak menyusun jadual penuaian dengan betul

"Banyak padi dituai lewat, khususnya di Blok A sampai (melebihi) 140 hari, padi jadi tumbang dan jentera tidak dapat menuai buah padi dengan rata,

"orang-orang ketua blok dan kroni-kroni mereka didahulukan,"ujarnya ketika ditemui Buletinonline Jumaat 20 Ogos.

Selain itu, katanya, masalah jentera penuai padi yang tidak menggunakan peralatan sesuai menyebabkan ia selalu tersangkut kerana tanah sawah yang lembik.

"Jentera penuai lambat kerana 'tenggelam' dalam tanah lembek, sepatutnya pihak jabatan mengawasi dan mengawal, tapi jentera ikut arahan petani tertentu yang berkepentingan,"jelasnya.

Abdul Rahman yang dikenali dengan panggilan Pak Muda turut menyatakan tidak puas hati kerana potongan harga padi padi yang terlalu tinggi dilakukan oleh pihak kilang.

Ketiaadaan subsidi padi yang sepatutnya boleh diaturkan oleh pihak kerajaan juga katanya menambah kerugian kepada para petani.

"Masalah potongan, kilang potong terlalu tinggi sampai 20%. mana nak ada untung, lepas itu subsidi pula tak ada, sepatutnya kerajaan mengusahakan supaya boleh subsidi kerana ia menjadi hak penanam padi,

"kan projek ni projek negeri yang dirasmikan Perdana Menteri dan MB sendiri turun padang, tapi masalh subsidi tak dapat diselesaikan,

"itu yang kami tambah rugi,"katanya kesal

Ulasan