Ribuan hadir ke rumah terbuka

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita34/bburok.JPG- Isyarat sokongan rakyat kepada PAS bertambah mantap
KUALA TERENGGANU - Ribuan rakyat yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok dan Hari Sambutan Idulfitri Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong menandakan isyarat sokongan rakyat kepada PAS semakin jelas.

Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bermula seawal jam 10.30 pagi dan berlanjutan hingga jam 3.00 petang

Pelbagai lapisan dan latarbelakang masyarakat mengunjungi rumah terbuka Dr. Syed Azman, termasuk di kalangan masyarakat Tionghua.

Melihat suasana sambutan luar biasa tersebut, Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing berkata, ia begitu meriah petanda sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat semakin kuat.

Menurutnya, reaksi rakyat yang sudah bosan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) kini berlaku di mana-mana termasuk di kalangan kaum tionghua.

“Saya lihat dengan suasana sambutan dan kehadiran rakyat yang ramai pada majlis rumah terbuka (Dun Batu Burok) ini. Saya yakin sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat semakin bertambah.

“Rakyat sudah bosan dengan kerajaan Umno-BN termasuk di kalangan orang tionghua sendiri yang datang berjumpa dengan saya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi di Kuala Ibai, dekat sini, semalam.

Menurutnya, mana-mana rumah terbuka serta program PAS kini terus dikunjungi oleh rakyat dan sambutannya lebih baik dari sebelum ini.

Adun Batu Burok, Dr Syed Azman turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan salam perjuangan Islam serta memohon rakyat membuat perubahan dalam pilihanraya.

Katanya, kegembiraan yang diraikan pada hari ini perlu diterjemahkan oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya mewakili PAS khususnya di Dun Batu Burok dan Kuala Terengganu amnya memohon supaya rakyat membuat perubahan,” tegasnya.

Menurutnya, perubahan wajar dilakukan oleh seluruh rakyat bagi menyelamatkan agama, bangsa dan Negara dari ‘kerakusan’ pemerintahan Umno-BN.

Hadir sama pada majlis tersebut Penasihat PAS Kuala Terengganu, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong yang juga mantan Adun Batu Burok sebelum ini.

Shttp://www.buletinonline.net/images/stories/berita34/marang.JPGementara itu, hari yang sama semalam 25 September, Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong turut menganjurkan Sambutan Hari Keluarga Sempena Syawal 1431H.

Majlis yang diadakan bersekali dengan Hari Keluarga PAS Kawasan Marang itu diadakan di perkarangan Madrasah Darul Iman, Kampung Titian Baru Kedai Buloh.

Majlis yang bermula pada malam 24 September dengan pelancaran Fasa Kedua pembangunan Madrasah Daruliman, turut dihadiri ribuan rakyat.

Tinjauan Buletinonline mendapati pelbagai aturcara program disusun sempena perayaan tersebut termasuk Mahrajan Pasti Kawasan Marang.

Yang Dipertua PAS Marang, Haji Yahaya Ali merakamkan ucapan terima kasih kepada para pengunjung yang datang ke majlis Aidilfitri PAS Kawasan Marang.

Katanya, sambutan orang ramai lebih meriah berbanding tahun sebelum ini petanda PAS menghampiri kemenangan.

“Alhamdulillah, sambutan cukup baik hari ini dan lebih baik dari segi kehadiran orang ramai berbanding sebelum ini.

“Jika ini (sambutan) boleh diterjemahkan dalam bentuk ‘undi’ (pilihan raya) kita (PAS) telah menghampiri kemenangan, Insya’Allah,” ujarnya.

Menurutnya, dengan kehadiran yang ramai tersebut bahagian perbekalan juadah kehabisan makanan dan minuman lebih awal.

Ulasan