Kenaikan Harga Barang semakin mencengkam

http://buletinonline.net/images/stories/berita38/bawang1malaysia.gif- Pemimpin Umno tidak rasai, kerana mereka 'kaya raya'
KUALA TERENGGANU
- Rakyat negeri Terengganu kini mula merasai tekanan 'bahang' kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat pengurangan subsidi terhadap minyak dan beberapa barang keperluan utama.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata melalui maklumbalas dari kajian yang dibuat menunjukkan seluruh rakyat Terengganu kini mengalami beban kesan kenaikan harga tersebut.

"Hampir keseluruhan barangan keperluan utama mengalami kenaikan, rantaian bebanan tersebut kini sedang mencengkam kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, ia jelas menunjukkan kaitan antara pengurangan subsidi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," ujarnya ketika ditemui Buletinonline.

Menurutnya rantaian kenaikan tersebut turut memberi kesan kepada harga makanan dan minuman siap yang sediakan dikedai-kedai makan dan warong-warong.

Katanya, kesannya dirasai samada para peniaga menaikkan harga makanan dan minuman yang disajikan atau pengguna memperolehi makanan dan minuman yang berkurangan kuantitinya, atau kualitinya, kerana peniaga terpaksa 'menyerap' kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang berlaku.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mendedahkan kenaikan harga keperluan utama kehidupan seharian semalam.

Sebelum ini, katanya, terdapat laporan media terhadap kenaikan harga sayur keluaran tempatan dan kenaikan tersebut kini 'sudah merebak' kepada harga sayur-sayuran impot.

Sehubungan itu, beliau berkata, ketiadaan bekalan beberapa keperluan utama rakyat akan turut diikuti dengan kenaikan harga kepada barangan tersebut.

"Ketiadaan minyak masak dan kelapa dalam pasaran tempatan khususnya di negeri Terengganu akan menyebabkan harga barangan tersebut naik, para pembekal sedang menyelaraskan harga bagi menyerap bebanan kos, terutamanya kos pengangkutan,"jelasnya.

Katanya, kos pengangkutan meningkat akibat daripada kenaikan harga bahan api utama minyak dan gas.

Oleh itu, beliau kesal dengan kenyataan beberapa pemimpin Umno Terengganu yang menolak realiti, bahawa kenaikan harga yang berlaku adalah kerana kesan kenaikan minyak dan gas.

"Pemimpin Umno tidak bercakap benar dan terus-terusan mahu menipu rakyat, kehidupan rakyat semakin tersepit tetapi 'mungkin' pemimpin Umno tidak merasainya kerana mereka sudah menjadi 'kaya raya',"ujarnya mengulas kenyataan seorang pemimpin Umno yang menuduh PAS menjadikan kenaikan minyak RON97 baru-baru ini sebagai 'satu gimik' politik PAS.

Justeru beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu menolak Umno dan menggantikannya dengan PAS dalam pilihanraya akan datang.

Katanya, Umno yang memerintah Terengganu sejak 2004 gagal meningkatkan kehidupan sebenar rakyat Terengganu.

"Jumlah rakyat yang miskin semakin bertambah, menunjukkan ada orang yang menjadi miskin pada setiap hari kerana tidak dapat menampung bebanan hidup,"tegasnya merujuk kepada kenyataan pemimpin Umno sendiri yang mendedahkan bahawa penerima bantuan dana kerajaan semakin meningkat.

Ulasan