Cegah maksiat dan kegiatan tidak bermoral

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita40/himpit2011a.jpg- sama seperti menentang rasuah dan penyelewengan kuasa
KUALA NERUS
- Pemuda PAS menegaskan bahawa golongan muda lelaki dan wanita merupakan agen yang membawa perubahan dalam negara.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan mengajak anak-anak muda Islam membuat perubahan menentang kegiatan tidak bermoral dan kemaksiatan sebagaimana mencegah kemungkaran lain.

“Kita (Pemuda) sedar bahawa anak-anak muda baik lelaki dan wanita adalah agen perubahan yang diharapkan berlaku dalam negara ini.

“Kita menentang kemungkaran, penyelewengan, kezaliman dan maksiat yang berlaku di tanahair kita,” tegasnya ketika berucap pada majlis Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2011 di Dataran Pekan Batu Enam, dekat sini, 11 Februari lalu.

Oleh itu, beliau menegaskan Pemuda PAS bukan sahaja tidak bersetuju dan menentang maksiat serta pergaulan bebas yang berlaku samada dalam sambutan ‘Hari Kekasih’ atau pada pesta-pesta dan karnival lain termasuk sambutan tahun baru dan kemerdekaan negara.

Beliau berkata demikian dalam mengulas isu saranan Pemuda PAS Valentine’s Day’ yang disalahertikan oleh pihak-pihak tertentu.

Menurutnya, segala bentuk penganjuran yang melibatkan pergaulan bebas anak-anak muda wajar disekat dan dicegah.

“Sehari dua ini, kecoh satu dunia dengan penegasan Pemuda PAS untuk halang program ‘Valentine’s Day’ dan kononnya, saya (Ketua Pemuda) arahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat bertindak kepada mereka yang terlibat.

“Siapa saya…saya bukan Perdana Menteri atau Menteri Besar yang hendak arah kerajaan negeri bertindak. Kami ini pendakwah dan bukan penghukum, kami duta penyekat dan kasih sayang,” ujarnya.

Katanya, Pemuda PAS hanya mengharapkan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan Pakatan Rakyat agar mencegah pergaulan bebas lelaki dan wanita.

Beliau yakin tidak ada mana-mana kerajaan Pakatan Rakyat yang mahu membiarkan generasi mudanya hanyut dengan kerosakan akhlak.

Menurutnya, Pemuda PAS tetap akan turun ‘padang’ bertemu serta mendekati golongan remaja pada Malam Sambutan Hari Kekasih dalam misi dakwah dan penerangan.

Himpit 2011 telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan sebelum itu, pengisian Motivasi Jihad dan Kebangkitan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Hadir sama pada majlis tersebut tiga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ustaz Satiful Bahri Mamat, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Arifin Deraman dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Ulasan