Tiada istilah tidak puas hati kepada PAS

KUALA TERENGGANU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Muzafeq Affyulzaifuzam Muhamad menganggap tiada istilah ‘tidak puas hati’ berhubung pembahagian kerusi dalam Pakatan Rakyat (PR) Terengganu.

Walaupun pembahagian itu tidak sama banyak antara Pas dan PKR, Muzafeq mendakwa Pas adalah sebuah parti yang sangat bertoleransi terhadap PKR dalam memastikan kemenangan pembangkang di negeri ini.

“Kita sedar kekuatan PKR sangat terhad di negeri ini memandangkan kita baru bertapak di Terengganu berbanding Pas.

“Bagaimanapun, kita faham situasi itu dan kita melihat Pas selalu bertoleransi dengan PKR,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, isu ketidakpuasan hati terhadap pembahagian kerusi dalam kalangan parti pembangkang itu sengaja dibangkitkan pihak tertentu untuk merosakkan kerjasama parti dalam PR.

“Isu ini dimanipulasikan UMNO untuk tunjuk PKR dan Pas di negeri ini ada pergolakan,” katanya.

Menurutnya, pembahagian kerusi sebenarnya ditentukan pada peringkat kepimpinan sama ada ia milik Pas, PKR atau DAP.

Sehubungan itu katanya, isu itu tidak seharusnya timbul kerana semua pihak perlu menghormati keputusan daripada pucuk pimpinan.

Sementara itu, beliau menjangka pertambahan kerusi PKR di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Muzafeq berkata, keyakinan itu berdasarkan pertambahan sokongan rakyat terhadap PKR dan PR.

“Golongan muda di negeri ini jelas memperlihatkan keinginan mereka untuk melakukan perubahan,” katanya. -Sinar Harian

Ulasan