Tanah rakyat di 'rampas', Usul ADUN PAS ditolak sidang DUN

http://buletinonline.net/images/stories/berita47/stedazmanusul.JPGKUALA TERENGGANU -  ‘Merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ adalah slogan 'retorik' Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu apabila pembangunan yang dilaksanakan 'merampas'  tanah-tanah rakyat.

PAS sebagai sebuah parti politik Melayu Islam, memperjuangkan dan membela nasib orang-orang Melayu yang dirampas tanahnya di bandaraya Kuala Terengganu.

Namun begutu, usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri dalam sidang DUN baru-baru ini telah ditolak.


Syed Azman pada 10 Mei mencadangkan agar persidangan dewan ditangguhkan bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (Dun) membincangkan isu pembangunan Bandaraya Kuala Terengganu.

Katanya, hasil dari pembangunan tersebut mengakibatkan tanah orang Melayu di pusat bandar bertukar tangan kepada bangsa asing.

“Saya mohon mencadangkan bahawa persidangan dewan ini hendaklah ditangguhkan mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri, bagi membolehkan Dewan Yang Mulia ini merundingkan isu pembangunan Bandaraya Kuala Terengganu yang mengakibatkan pengambilan tanah-tanah tradisi dan turun-temurun orang-orang Melayu, sehingga terhakisnya tanah-tanah orang Melayu.

“Apabila ada tanah orang Melayu di Pusat Bandar telah bertukar tangan kepada bangsa lain. Isu ini adalah perkara tertentu, kerana telah berlaku mengambilan tanah secara ‘rakus’ dan boleh menggugat masyarakat Melayu bandar di negeri Terengganu.

“Tindakan pengambilan balik tanah tanpa mengira implikasi masa depan orang-orang Melayu bandar adalah amat dikesali dan ‘menzalimi’ rakyat Terengganu yang mengharapkan pembelaan kerajaan negeri. Terutamanya, golongan berpendapatan rendah yang hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, jelasnya. 

Malah, menurutnya kenyataan Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Terengganu, Dato’ Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar wajar diberi perhatian.

Tengku Ismail dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri dan agensi kerajaan disarankan agar memainkan peranan bagi menghalang tanah milik orang-orang Melayu di negeri Terengganu dari jatuh ke tangan bangsa lain.

Beliau menyaran agar perlu ada satu dasar yang lebih menyakinkan rakyat supaya perkara tersebut tidak berulang.
Ini kerana, kata Tengku Ismail sudah ada kawasan yang pada mulanya milik orang-orang Melayu kini bertukar tangan setelah dimajukan oleh pihak tertentu.

“Malah, dicadangkan supaya agensi kerajaan seperti Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu, Yayasan Islam, Majlis Amanah Rakyat dan UDA perlu memainkan peranan mengambil-alih tanah-tanah milik orang Melayu di sekitar Bandar Kuala Terengganu.

“Meski pun bersaiz kecil untuk dimajukan demi kebaikan ekonomi bangsa Melayu adalah amat wajar, bernas dan perlu diteliti kembali oleh kerajaan negeri.

“Perkara ini melibatkan kepentingan orang ramai kerana tanpa pembelaan yang wajar terhadap tanah-tanah orang Melayu akan tergadai di dalam bandar ini,” ujarnya.

Dr Syed Azman mendakwa pengambilan tanah-tanah tersebut menyebabkan perkampungan orang-orang Melayu hilang satu persatu di bandar Kuala Terengganu.

Menurutnya, perkampungan orang-orang Melayu telah hilang satu demi satu di bandar Kuala Terengganu seperti Kampung Paya Bunga, Kampung Batas Baru, Kampung Paya Keladi, Lorong Haji Jamil dan terkini Kampung Tanjung, Kampung Ladang Tok Pelam.

Bahkan, katanya Kampung Chabang Tiga dan Kampung Padang Hiliran sedang menunggu giliran untuk ‘diratah’ dan ‘dimamah’ oleh pelabur-pelabur yang ‘rakus’ membeli tanah-tanah orang Melayu di atas nama membangunkan Bandaraya Kuala Terengganu.

“Perkara (usul) ini perlu disegerakan kerana ianya menyentuh masa depan orang-orang Melayu dan nasib malang yang terpaksa dipikul oleh orang-orang Melayu Bandaraya Kuala Terengganu.

“Mereka (rakyat) telah menetap dan bertapak di tengah-tengah Bandaraya ini sejak ratusan tahun dengan pelbagai warisan sejarah yang begitu penting.

“Kerakusan pembangunan tanpa mempedulikan implikasi telah pun menyebabkan satu demi satu tanah serta perkampungan tradisi warisan nenek-moyang kita orang-orang Melayu kini hilang dan hanya tinggal pada nama sahaja.

“Maka, saya berpandangan usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan orang ramai serta perlu disegerakan,” tegasnya.

Namun begitu, Yang Dipertua Dewan, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang telah menolak usul tersebut atas alasan tidak perlu disegerakan.

[Dengar sidang media YBM Dr Syed Azman di Buletinonline]

Ulasan