Fokus Pemuda; Memacu Kemenangan PAS Terengganu Pada PRU ke-13

KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha dan tindakan bagi memacu kemenangan PAS di negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Untuk tujuan itu, Jawatankuasa Kerja DPPNT yang baru dilantik akan mengadakan satu sesi 'Brainstorming' dalam masa terdekat bagi memperincikan pelan perjalanan (road map) menuju kemenangan.

Menurut Setiausaha Dewan tersebut, Zaidan Abdullah, semangat para pemuda kini bersemarak dan berkobar-kobar untuk menawan kembali negeri Terengganu terutama selepas perlantikan Pesuruhjaya PAS yang baru, Haji Mohd Abdul Wahid Endut.

Beliau menyifatkan perlantikan Wahid sebagai satu pengiktirafan dan penerimaan kepada suara pemuda yang mahukan satu perubahan.

"Fokus utama (adalah untuk) menang pilihanraya, (iaitu) memacu (gerak kerja pemuda) pilihanraya ke-13 untuk tawan negeri Terengganu,

"semangat (pemuda) AlhamduliLlah ada perubahan (peningkatan) dengan (perlantikan) Pesuruhjaya (baru), orang muda rasa lebih yakin dan rasa 'lebih di dengar' suaranya,

"InsyaAllah, lonjakan-lonjakan dan suara-suara (pihak) luar mula menyatakan sokongan dan kepercayaan,"ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam meraikan bekas-bekas Ahli Jawatankuasa DPPNT, disini Khamis, 23 Jun.

Sehubungan itu, menurutnya, satu gerakkerja gempur 'Pentas Pemuda' akan diadakan bagi mnggembeling tenaga pemuda terutamanya memobilisasikan seluruh pemuda menjelang Himpunan Aman BERSIH 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai depan.

Justeru beliau yakin, sasaran pemuda, seramai 50,000 orang dari negeri Terenganu yang akan 'turun' menghadiri himpunan bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bersih itu.

"Kita (DPPNT) mengarahkan setiap (pemuda) Kawasan mengadakan 'Pentas Pemuda' (gerakkerja) gempur bagi mencapai sasaran (sekurang-kurangnya) 2,000 orang (ahli pemuda) dari setiap Kawasan,"jelasnya.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat supaya turun beramai-ramai pada himpunan tersebut kerana menurutnya tidak ada satu pun dari lapan tuntutan BERSIH, yang akan mengancam, menggugat keselamatan dan keamanan negara.

Katanya, tuntutan BERSIH wajar dipenuhi kerana ia bukanlah suatu tuntutan yang 'melampaui' batas.

"(tidak ada satu pun) tuntutan itu (yang) melampau, (wajar) tuntutan-tuntutan itu dipenuhi supaya perjalanan pilihanraya lebih bersih dan lebih adil, semua pemuda (digesa) memberikan komitmen (menyahut seruan BERSIH),"tegasnya.

Bagi 'acara memanaskan badan' (warming up), katanya, semua pemuda diarahkan untuk 'menguningkan' setiap hari Sabtu pada 25 Jun dan 2 Julai, dengan memakai pakaian berwarna kuning yang menjadi warna rasmi BERSIH.


Ulasan