Umno-BN tidak adil, ‘pilih-pilih’ beri bantuan

KEMAMAN - Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai, Haji Hanafiah Mat mendakwa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak adil kerana memberi bantuan secara ‘terpilih’ kepada rakyat.

Katanya, sebuah kerajaan yang adil dan berwibawa akan melayani semua rakyat tanpa memilih ‘bulu’ serta warna kulit.

“Umno-BN hanya beri bantuan ‘terpilih’ kepada yang sokong parti mereka sahaja. Ini (bantuan) tidak adil kepada rakyat.


“Kita (PAS) semasa jadi kerajaan dan memerintah negeri Terengganu ini semua orang tanpa mengira fahaman politik dan kaum dapat bantuan kerajaan kita (PAS),” jelasnya ketika ditemui pada majlis Iftar Ramadan di Bandar Baru Bukit Mentok, dekat sini Sabtu 5 Ogos .

Di majlis yang sama, pihak MTD Chukai meraikan 80 orang fakir miskin dari Unit Peti Undi (UPU) Kampung Dusun Nyior, Chukai Kemaman.

Buletinonline dimaklumkan, sebanyak RM10,000 dibelanjakan MTD Chukai setiap bulan bagi tujuan kebajikan seperti memperbaiki rumah, memberi bantuan kewangan kepada  fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Hanafiah berkata objektif utama program seumpama ini diadakan adalah bagi merealisasikan konsep Negara Berkebajikan.

Menurutnya, program tersebut telah lama diamalkan oleh PAS sebagai sebuah parti gerakan Islam sebelum dikomersialkan pada Muktamar Agung Tahunan PAS yang lalu.

Katanya, sekaligus bagi mengumpul Dana Infak melalui ‘jualan meja’ yang dikenakan sebanyak RM50.00 seorang.

“Majlis (Iftar) hari ini juga bertujuan mengumpul Dana Infak Dun Chukai. 80 orang fakir miskin diraikan dengan pengagihan sumbangan berupa beras, barangan dapur dan wang tunai.

“Objektif kita (PAS) jelas, untuk merealisasikan konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan dan dikomersialkan oleh PAS pada muktamar kita yang lalu,” ujarnya

Ulasan