Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) ke-3

- pada 14 & 15 Oktober depan di Tanjung Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu akan meruskan Program Mega Berprestij 'Himpunan Kebangkitan Rakyat; PAS Ganti Umno (PGU) Kali Ke-3' yang ditangguhkan sejak Mei lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata demikian pada Majlis Ijtima' Idulfitri Anak-anak Terengganu di Perantau di Kuala Ibai, pada 1 September lalu.

Sehubungan itu, Setiausaha Panitia Induk PGU Kali Ke-3, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah mengesahkan tarikh program tersebut adalah pada 14 dan 15 Oktober depan.



(Gambar - Imbas kembali PGU Kali Ke-2; Haji Wahid, Timbalan Pesuruhjaya (ketika itu) mengiringi Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi, turun padang bertemu dengan hadirin)

Menurutnya, pihak panitia masih mengekalkan sasaran seramai 100,000 orang akan hadir program PGU Ke-3 yang dijangka program mega terakhir sebelum Pilihanraya Umum Ke-13.

"Saya optimis dengan sasaran yang diletakkan sebelum ini, kita terus meletakkan sasaran kehadiran seramai 100,000,

"memandangkan 'suhu' pilihanraya yang semakin meningkat,"katanya

Wan Sukairi yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu berkata, PGU Kali Pertama yang diadakan di Selatan Terengganu pada 15 Januari 2011 di Dataran Tok Guru, Geliga, DUN Chukai, telah mencatat sejarah.

Beliau berkata, lebih 15,000 orang ahli dan penyokong hadir,  memberikan sokongan terhadap hasrat PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.

Semangat membara untuk 'menawan kembali' Wisma Darul Iman, katanya, diteruskan dengan penganjuran PGU Kali Ke-2 di bahagian Utara negeri Terengganu.

Menurutnya, walaupun program tersebut cuba diganggu oleh Umno Bahagian Besut namun lebih 25,000 orang hadir.

"Umno Besut, dibawah pimpinan Mantan Menteri Besar Dato' Seri Idris cuba menganggu, dengan menganjurkan ceramah, mereka membawa Ummi Hafilda sebab Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hadir ke PGU 2,

"namun, sokongan rakyat terus membara, 25 ekor lembu disumbangkan rakyat Besut untuk jamuan rakyat dan PGU 2 meraih sokongan lebih 25,000 orang,"jelasnya

Beliau yakin PGU Kali Ke-3 akan menarik lebih ramai sokongan termasuk 'pengundi atas pagar' dan dikalangan ahli-ahli Umno, kerana imej baru kepimpinan PAS Terengganu.

"PGU pertama di bawah kepimpinan baru Badan Perhubungan PAS Terengganu ini akan menjadi 'klimaks' kepada kebangkitan rakyat Terengganu,

"bagi membuat perubahan kerajaan di negeri Terengganu (pada PRU ke-13) setelah pelbagai kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kegagalan Umno/BN Terengganu,"katanya ketika dihubungi Buletinonline.

Ulasan