MDHT 'keras' dan tidak bertimbang rasa

HULU TERENGGANU - Hampir 100 peniaga Pasar Besar Kuala Berang (gambar) mengeluh dengan pihak Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) yang disifatkan ‘keras’ serta tidak bertimbang rasa.

Mereka melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan keadaan pasar tersebut yang mempunyai ruang niaga sempit dan peraturan terhad.

Tinjauan Skuad Buletinonline menemui para peniaga yang masing-masing mengadu permasalahan tersebut.

Peniaga runcit, Mohd Sapia Mohd Zin memberitahu keluasan ruang niaganya bersaiz 8 x 10 kaki persegi dianggap kecil.

Malah, katanya pihak penguatkuasa MDHT segera mengeluarkan notis larangan kepada semua peniaga pasar yang meletakkan barangan melebihi premis masing-masing.

“Saya niaga kedai runcit, barang banyak tetapi ruang niaga hanya seluas 8 x 10 kaki sahaja dan tidak dibenarkan melebihi premis.

“Kami semua telah menerima notis dari pihak penguatkuasa yang tidak membenarkan dibuat pindaan, tambahan, sambungan atau sebarang pemasangan elektrik tambahan di premis,” jelasnya ketika ditemui di pasar tersebut.

Beliau merayu agar pihak kerajaan bertolak ansur dengan para peniaga yang ‘terpaksa’ meletakkan barang perniagaan di kaki lima premis.

Peniaga pakaian, Luqman Muhamad turut menerima notis amaran keras agar tidak meletakkan pakaian jualan melebihi premisnya.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan termasuk ‘meroboh’ premis tambahan serta merampas barang jualan.

Justeru itu, beliau akur dan terpaksa mengikut arahan pihak berkuasa meski pun banyak menghadapi kesulitan dalam perniagaan.

Mariah Harun, 54, dari Kampung Batu 23 menjalankan perniagaan di bahagian sayur yang mempunyai keluasan 4 x 6 kaki persegi ukuran petak.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh peniaga pasar sayur juga tidak boleh melebihi petak premis masing-masing.

“Kita (peniaga) barang banyak, tempat niaga sempit dan terpaksa guna sedikit ruang kaki lima awam. Ini pun tidak boleh dan dikeluarkan surat notis oleh pihak MDHT.
“Saya telah berniaga lebih 10 tahun sejak dari pasar lama sebelum berpindah ke sini (pasar) yang baru siap beberapa bulan lalu.

“Dia (MDHT) kata, jika kami tidak berpuas hati dengan ruang niaga yang disediakan, mereka (peniaga) boleh ‘keluar’ (pindah) ke tempat lain,” ujarnya.

Menurutnya, setakat ini seramai 12 orang peniaga menjalankan perniagaan masing-masing daripada 24 lot niaga yang disediakan itu.

Seorang peniaga barang basah, Rusdi Mohamad, 45, dari Kampung Batu 24 turut mendakwa keadaan ruang niaga yang sempit.

Ingat, katanya berpindah ke pasar baru ini keadaan yang lebih selesa dan baik untuk menjalankan perniagaan tapi makin teruk.

“Pasar ini 100 peratus orang Melayu yang berniaga. Ingatkan bila pindah ke pasar baru ini semakin baik dan selesa tetapi semakin teruk.

“Ruang niaga yang sempit 8 x 7 kaki dan tidak dibenarkan melebih ruang petak premis yang disediakan pihak majlis (MDHT),” jelasnya.

Menurutnya, perniagaan ikan basah yang dijalankan memerlukan ruang yang lebih besar untuk pelbagai jenis ikan.

Manakala, Semek Ngah, 59,  dari Kampung Kubang Palas menjalankan perniagaan ikan dan ayam segar.

“Biasanya, saya boleh jual 300 ekor sehari tetapi dengan ‘halangan’ (peraturan) ketat pihak berkuasa sekarang hanya 80 ekor sehari,” ujarnya.

Beliau tidak menafikan ruang niaga yang disediakan sempit ditambah dengan peraturan tidak membenarkan melebihi premis masing-masing.

Katanya, sungutan para peniaga langsung tidak diambilkira tetapi dibalas dengan surat notis beramaran oleh pihak penguatkuasa MDHT.

Ulasan