Misi murni Yayasan Amal ke Somalia

KUALA TERENGGANU -Yayasan Amal Malaysia kali ini mengorak langkah terbarunya melakukan kerja-kerja kebajikan sosial sempena musim perayaan Iduladha ke kawasan konflik Somalia.

Pengerusinya, Haji Husin Ismail berkata menjadi tradisi Yayasan Amal Malaysia menyertai program kemanusiaan apabila berlaku bencana alam di mana-mana sahaja.

Namun begitu, katanya misi Yayasan Amal kali ini ‘serampang tiga mata’ iaitu program korban aqiqah, kemanusiaan dan perubatan.

“Yayasan Amal Malaysia sebagaimana sudah jadi tradisi yang sudah hampir lapan tahun kita mengadakan program kemanusiaan biasa, apabila berlakunya bencana alam di mana-mana.

“Satu daripadanya, program korban aqiqah bersekali dengan kemanusiaan dan perubatan di kawasan-kawasan masyarakat yang kurang bernasib baik di kawasan konflik Somalia,” ujarnya.

Menurutnya, misi tersebut dinamakan Program Korban Aqiqah, Kemanusiaan dan Perubatan kerjasama Yayasan Amal Malaysia (Amal) dengan Development Initiative Access Link (Dial) Somalia-Kenya.

Katanya, Yayasan Amal terlibat dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan tersebut hampir di seluruh negara Asean.

Menurutnya, tahun ini Yayasan Amal mengfokuskan disembilan buah negara selain Malaysia adalah Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Filipina, Sri Lanka, Sudan dan Somalia.

“Kita (Yayasan Amal) terlibat hampir di seluruh negara Asean. Kita juga berpengalaman korban di Palestin, Bangladesh dan di Myanmar.

“Tahun (2011) ini, kita fokus pada 9 negara iaitu selain Malaysia (Sabah) adalah Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Filipina (Selatan Filipina iaitu Mindanao fokusnya di Merawi, Cotabato dan Basilan. Kita juga buat di Sri Lanka, Sudan dan Somalia,” ujarnya.

Dimaklumkan, tahun lalu Yayasan Amal melaksanakan misinya di timur Sudan bagi membantu masyarakat pelarian Islam dari Eritrea yang terletak di Casale.

Selain program korban, katanya pihak Yayasan Amal juga membuat kempen Quran bagi disumbangkan kepada masyarakat di Casale, Sudan.

Menurutnya, misi Yayasan Amal di Casale membangunkan sebuah masjid, program mencari dan membekalkan air bumi melalui pendekatan teknologi manual Malaysia serta projek pertanian.

“Tahun lepas, saya sendiri fokuskan untuk Sudan terutamanya di sebelah timur Sudan untuk masyarakat pelarian Islam dari Eritrea yang berada di sebelah timur Sudan dan tempat itu namanya Casale.

“Selain program korban, kita membuat kempen Quran kepada masyarakat dan untuk Casale ini, kita buat empat program iaitu selain korban aqiqah, kita hendak bangunkan sebuah masjid, program mencari dan membekalkan air bumi melalui pendekatan teknologi manual Malaysia. Selepas itu, kita akan bangunkan projek pertanian,” jelasnya.

Husin berkata, suatu penghormatan kepada Yayasan Amal Malaysia yang dipelawa bekerjasama dengan pihak United Nations Security Council Resolution (UNSCR).

Menurutnya, Kem Dardad di Somalia-Kenya menempatkan jumlah pelarian yang terbesar dan disebut oleh UNSCR sebagai kem pelarian terbesar dunia sekarang.

Katanya, keseluruhan pelarian tersebut lari dari krisis kemanusiaan (perang saudara) dan krisis kebuluran di Somalia.

“UNSCR (United Nations Security Council Resolution) mencadangkan supaya kita (Amal) bekerjasama dengan mereka.

“Tahun 2011 ini, saya fokuskan ke kawasan yang lebih tenat dan lebih jauh. Suatu pengalaman baru bagi kami. Kita masuk melalui Kenya dan terus ke sempadan Kenya-Somalia.

“Di Somalia Kenya iaitu di Kem Dardad di bawah pengurusan UNSCR. Keseluruhan pelarian lari dari krisis kemanusiaan (perang saudara) dan krisis kebuluran di Somalia. Di sini juga telah ditempatkan jumlah pelarian yang terbesar dan disebut oleh UNSCR sebagai kem pelarian terbesar dunia sekarang,” ujarnya.

Justeru itu, katanya program sembelihan korban Yayasan Amal tertumpu di dua kem pelarian iaitu dagahaley dan dadaab dan dua kem IDPs iaitu Darfur dan Sabuli.

Menurutnya, terdapat empat jenis pilihan korban aqiqah disediakan iaitu lembu, kambing, kibas dan unta.

“Lembu satu bahagian RM300 dan kambing, kibas seekor RM300. Korban aqiqah unta RM450 satu bahagian. Kami (Amal) uruskan sendiri sembelihan korban yang diamanahkan itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Husin program korban aqiqah dan perubatan di Somalia Kenya adalah kerjasama Yayasan Amal Malaysia dengan sebuah NGO Development Initiative Access Link (Dial).

“Kita bawa empat orang doktor yang diketuai oleh Profesor Dr Hashim, Dr Syed Ahmad Syed Mohd Ali, Dr Iskandar dan Dr Mahyudin dan ditambah dengan enam orang doktor tempatan di Somalia.

“Rombongan dari Malaysia (Amal) dijangka 12 orang. Yayasan Amal akan bekerjasama dengan sebuah NGO di Kenya dari kalangan orang Somalia yang dikenali sebagai Development Initiative Access Link (Dial) yang diketuai oleh Abdul Naseer, Setiausahanya, Abdul Waheed dan Bendaharinya, Mahmood Qassem,” jelasnya.

Menurutnya, misi korban aqiqah, kemanusiaan dan perubatan akan berlepas ke Kenya-Somalia pada 3 hingga 10 November 2011, depan.

Sesiapa yang berminat menyertai korban aqiqah di Somalia sila talian hubungi 24 jam iaitu Cikgu Husin Ismail 019-9511860, 019-9565330, 09-6313109 atau Haji Jamuluddin 019-6644796 dan Saudara Zaman 019-9831927 atau Harakah.

Ulasan