Musim tengkujuh; Bantu segera nelayan dan petani

KUALA TERENGGANU – PAS menggesa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) segera laksanakan janji membantu para nelayan dan petani.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu merangkap Pengerusi Lujnah Pertanian PAS negeri Terengganu, Haji Muhyiddin Abdul Rashid berkata, lebih 200 nelayan di Kuala Kemaman tidak menerima elaun sara hidup bulanan sebagaimana yang dijanjikan.

Manakala, menurutnya, sehingga kini, hampir keseluruhan petani kecil tidak mendapat bantuan input, baja, benih dan racun

Selain itu, katanya, beliau menerima aduan dari para petani, tuntutan bayaran subsidi hasil pengeluaran sayur dan buah-buahan mereka tidak dibayar sejak Oktober tahun lalu (2010).


"Kita (PAS) minta kerajaan laksanakan janji-janji tahun lepas, nak beri nelayan elaun sara hidup RM200 sebulan, nak beri bantuan input serta subsidi hasil pengeluaran kepada para petani,"ujarnya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian mengulas, janji-janji kerajaan sebagai pembentangan bajet 2012 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Razak, Jumaat lalu.

Beliau juga merujuk kepada kes nelayan di Kuala Kemaman, sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan baru-baru ini

Katanya, kerajaan melalui agensi-agensi pertanian sedia ada mesti bertindak segera memandangkan musim tengkujuh yang bakal tiba.


"Musim hujan, nelayan tak boleh ke laut menangkap ikan, petani tak boleh ke kebun, tak boleh menanam, tanah 'berdener',

"bantuan tersebut akan meringankan bebanan yang ditanggung mereka dalam musim tengkujuh yang bakal tiba,"jelasnya.

Beliau menolak dakwaan, kononnya dengan kenyataan begitu seolah-olah PAS mengiktiraf usaha kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) membantu golongan terbabit.

Haji Muhyiddin yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, semua kerajaan dalam dunia ini membantu golongan nelayan dan ptani kerana mereka merupakan kelompok produktif, yang mengeluarkan hasil makanan untuk orang ramai.

"Mereka (petani dan nelayan) wajar dibantu, bukan oleh kerajaan BN, kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat pun akan bantu, malah lebih dari itu,

"bukan hanya membantu mereka untuk kehidupan di dunia, PAS akan bantu mereka bagi kehidupan di akhirat,"ujarnya.

Beliau kesal, kerajaan Umno dan BN kini berjanji lagi, malah lebih teruk mahu 'menyuapkan makanan' ke mulut rakyat, sedangkan sepatutnya, mereka dibantu dari segi kemudahan dan peluang.

"Beri bantuan 'one-off' umpama suap makanan ke mulut, tak payah usaha, kerajaan Umno/BN sepatutnya bantu menyediakan peluang, kemudahan asas, peluang nak berniaga, peluang pekerjaan,"katanya.

Ulasan