Pemuda PAS kesal Umno guna polis untuk memburuk-burukkan pemimpin

KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) kesal dengan tindakan Umno mempergunakan program-program anjuran kerajaan untuk memburuk-burukkan pemimpin PAS.

Bahkan, lebih teruk lagi, kata Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, apabila anggota polis menjadi 'kuda tunggangan' dan 'alat perkakas' Umno bagi melaksanakan kerja 'jahat' itu.



"Umno sedang mempergunakan program kerajaan untuk memburuk-burukkan pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat dengan tuduhan jahat,

"Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dituduh sebagai komunis dan Penasihat PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim di label sebagai 'penjahat' dan ramai lagi,"ujarnya ketika menghubungi Buketinonline.

Menurutnya, perkara tersebut berlaku dalam Program Multaqa Guru-guru J-Qaf yang diadakan di dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 pada Rabu 16 November.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong menempelak kerja jahat Umno itu yang menggunakan belanja yang besar dari wang rakyat yang bertujuan 'kononnya' untuk meningkatkan budaya kerja di kalangan para guru.

"Malangnya kursus yang (memakan) belanja besar untuk meningkatkan budaya kerja (para guru) dijadikan gelanggang, sarat dengan budaya mengumpat dan mencerca serta kempen politik (Umno),"tegasnya.

Beliau turut mendedahkan, seorang pegawai polis berpangkat DSP yang menjadi salah seorang pembentang kertas kerja dalam program tersebut telah menghasut guru-guru yang hadir supaya membenci pemimpin PAS.

"saya dimaklumkan seorang pembentang yang bernama Khairudin berpangkat DSP dari pasukan polis negeri Terengganu telah membuat pelbagai tuduhan kepada pimpinan PAS dan PKR,"jelasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) juga telah menggunakan sepenuhnya 'program pengagihan wang bantuan 'one-off' RM100 kepada para pelajar untuk berkempen.

Katanya, tindakan parti Umno/BN tersebut memperlihatkan nilai sebenar bantuan yang diberi, bukanlah sungguh untuk membantu rakyat, tetapi menjadikan medan politik menjelang pilihanraya umum ke-13.

"Umno sangat terdesak, mereka tidak ada ruang untuk besemuka dengan rakyat, menggunakan program itu untuk kempen pilihanraya,

"buktinya adalah mensyaratkan ibu bapa hadir untuk mendengar ucapan tokoh-tokoh politik Umno bersyarah,"katanya.

Menurutnya, beliau mendapat aduan dari orang ramai yang dipaksa mendengar ceramah malah ada guru besar yang 'totok' Umno turut mencerca guru-gurunya sendiri dan menuduh pegawai kerajaan serta profesional yang menyertai PAS adalah 'bodoh belaka'.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu sedar dan bangkit menolak Umno yang sudah tidak dapat membezakan antara 'parti politik dan kerajaan'.

Katanya, pentadbiran negeri dan negara ini menjadi 'kucar-kacir' akibat pertembungan kepentingan antara kehendak politik kepartian dan tujuan memajukan rakyat.

Akibatnya, kata beliau, berlaku pelbagai penyelewengan yang melibatkan jutaan ringgit wang negara sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara

Ulasan