Isu solat berasingan; Umno lebih suka masjid kosong!


BESUT - Seramai empat puluh orang pelajar daripada keluarga yang kurang mampu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut menerima sumbangan bantuan awal persekolah.

Majlis tersebut yang diadakan di Kampung Pasir Akar dekat sini telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Tindakan DUN Hulu Besut, Cikgu Shalahuddin Jaafar (gambar)


Menurutnya, majlis penyampaian sumbangan bagi meringankan beban keluarga terbabit merupakan majlis yang diadakan pada setiap hujung tahun.

Beliau berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga pihak MTD Hulu Besut mengadakan majlis seumpamanya.

“AlhamduliLah, tahun ini kita dapat membantu 40 buah keluarga, meringankan beban mereka, ini tahun ketiga berturut-turut kita adakan majlis macam ni,”ujarnya ketika berucap dalam majlis itu.

Beliau berkata, bantuan ‘one-off’ yang diberikan oleh kerajaan sebenarnya terlalu sedikit dan hanya untuk yuran persekolahan sahaja.

Kataya persiapan bagi ‘kembali semula ke sekolah’ memerlukan belanja yang lebih besar untuk membeli kelengkapan lain termasuk pakaian, buku dan alat tulis.
Menurutnya, walaupun PAS bukan sebuah parti yang memerintah, PAS mengambil berat soal kebajikan rakyat.

“program (ini) diadakan walaupun tidak memerintah kerana PAS memandang berat (soal) kebajikan rakyat, kerja-kerja kebajikan sentiasa dibuat dari masa ke semasa,

“sekarang PAS telah tubuh rakan khidmat dalam usaha (meningkatkan) memberi khidmat kepada masyarakat secara menyeluruh,”jelasnya.

Menyentuh isu solat Jumaat berasingan yang sedang ‘diputarbelitkan’ oleh Umno dan medianya, beliau berkata ia tidak berbangkit sama sekali.

Hakikatnya, kata beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Besut, Umno tidak mahu rakyat dekat dengan masjid dan mendalami ilmu-ilmu Islam.

“ahli-ahli Umno gagal memakmurkan masjid kerana sebahagian besar jemaah di masjid-masjid adalah orang PAS, bahkan yang menghidupkan masjid dengan kuliah-kuliah agama adalah ustaz-ustaz dari PAS,

“Umno lebih suka, masjid kosong, masjid tidak disuburkan dengan majlis-majlis ilmu, bagi mereka masjid hanya untuk solat sahaja,”tegasnya.

Oleh itu, kata beliau, isu solat berasingan sengaja ‘dikitar semula’ bagi mengelirukan rakyat dan memberikan imej yang tidak baik kepada Islam dan PAS.

“Isu ini dibangkit (kembali) kerana dekat dengan pilihanraya umum, selama ini tidak timbul langsung, jelas Umno kekeringan isu dan cuba menutup masalah dalaman Umno dan kerajaan Barisan Nasional yang  terlalu banyak,”katanya.

Ulasan