Kerajaan Terengganu tidak bercadang laksana skim gaji minima

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Umno/BN Terengganu tidak berhasrat untuk melaksanakan skim gaji minima kepada kakitangan syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu.

Namun begitu, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad berkata kerajaan negeri bersetuju melaksanakannya sekiranya diarahkan oleh kerajaan pusat.


Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemuka oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga ADUN Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut Haji Waahid dalam siding DUN hari kedua Selasa 6 Disember telah bertanya adakah kerajaan negeri bersedia melaksanakan skim gaji minima kepada kakitangan anak-anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu.


Sementara itu, dalam sidang yang sama, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi telah meminta penjelasan daripada kerajaan berkenaan pembinaan Fasa 2 Lebuhraya pantai timur .

Beliau yang juga ADUN Batu Buruk bertanya mengapakah pembinaan lebuhraya itu lewat dari jangkaan.

Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) menghubungkan Jabor di Kemaman dengan Gemuruh di sini, yang kini dijadualkan siap pada 2014, sepatutnya siap pada tahun 2012.

"Bagaimanapun, kini tarikh siap lebuh raya LPT2 dianjak pula ke 2014, siapa yang bertanggungjawab dengan jadual asal? Kelewatan ini akan menyebabkan kosnya semakin bertambah," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2012

Syed Azman turut mempersoalkan peningkatan kos pembinaan lebuh raya itu yang meningkat sehingga 15 peratus berbanding anggaran kos asal.

"Sebelum ini kos asalnya ialah RM3.7 bilion, jadi naiknya lebih RM500 juta untuk menyiapkan LPT. Kita nak tahu siapa yang akan tanggung peningkatan kos ini," katanya.

Beliau turut meminta penjelasan kerajaan negeri mengenai kerja-kerja pembaikan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada 2 Jun 2009 itu selesai dan dapat digunakan kembali.

Ulasan