Menjelang PRU-13; Jangan beri ruang langsung kepada Umno/BN


KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mengingatkan semua ahli dan penyokong supaya jangan memberi ruang langsung kepada Umno dan Barisan Nasional memecah belahkan perpaduan menjelang Pilihanraya Umum yang semakin hampir.

Setiausahanya, Haji Yahaya Ali berkata, semua pihak mestilah berhati-hati dengan permainan ‘media musuh’ terutamanya apabila mereka membuka ruang yang agak luar biasa.


“Dalam suasana kita semakin hampir dengan PRU 13, jangan kita memberi ruang atau terperangkap dengan agenda yang telah dan sedang dipasang oleh UMNO/BN,

“terutama apabila media memberi ruang istimewa kepada kita,”ujarnya dalam kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada Buletinonline.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu yang berkait dengan bekas Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Hassan Ali.

Menurut Yahaya yang juga Yang DiPertua PAS Marang, kedua-dua mereka itu, masih merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik selepas pemilihan tidak lama dulu.

Katanya, walaupun PAS membuka ruang demokrasi kepada semua ahli, namun perkara-perkara yang telah disepakati dan diputuskan bersama, sepatutnya dituturkan kita dengan nada yang sama.

Beliau berkata, dalam isu kerjasama dengan UMNO, pimpinan memutuskan, tidak ada persefahaman dalam konteks 'tahaluf as-siyasi'.

“Adapun kerjasama dalam konteks perpaduan ummah dan isu-isu membina masyarakat, kita mesti bersama tidak kira dengan sesiapa, samada dengan UMNO atau mana-mana pihak,”jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, dalam meneruskan perjuangan, ahli-ahli dan penyokong PAS mesti menerima realiti bahawa ia ada pasang dan surutnya, dalam konteks kepimpinan.

“Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi perjuangan mesti diteruskan. Pada akhirnya bukan diri kita tetapi parti adalah keutamaan.

“Ini mesti dihayati terutama kepada mereka-mereka yang agak 'baru' memasuki PAS,”tegasnya dan  menasihatkan agar semua pihak bertenang dan mengambil sikap ‘kurang bercakap’.

Katanya, semakin banyak percakapan atau kenyataan yang dibuat, ia akan menjadikan jurang semakin besar, antara kenyataan peribadi dengan kenyataan rasmi pimpinan.

“Kelemahan dan tindakan ahli-ahli memang ada dan mendahului pimpinan utama terutama dalam soal pemilihan calon.
“Tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan utk kita pertahan diri habis-habisan hingga boleh menjejaskan parti dan memakan diri sendiri,”tambahnya

Ulasan