Tangguh Projek Kolam Udang i-SHARP di Setiu


KUALA TERENGGANU – Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat mendesak kerajaan menangguhkan projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu (i-SHARP), Setiu bagi memberi tumpuan kepada keselamatan alam sekitar yang dikatakan menjejaskan kawasan berhampiran akibat pelaksanaan projek tersebut.


Pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar mendakwa, projek yang dianggarkan bernilai kira-kira RM300 juta itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa kajian menyeluruh sehingga memberi kesan terhadap kawasan setempat termasuk banjir yang dikatakan lebih buruk berbanding tahun sebelumnya pada tengkujuh lalu.


[Gambar - Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly (kiri) dan Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu Dr Azman, dalam sidang media]


Beliau berkata, sebelum pelaksanaan tersebut berjalan sepenuhnya, syarikat bertanggungjawab yang memajukan kawasan terbabit perlu menumpukan kepada kemudahan yang lebih berkesan untuk memastikan kawasan tersebut selamat dengan menambah baik sistem pembuangan sisa dari kolam serta sistem perairan.

“Apabila menternak udang di kawasan tersebut, sisa daripada ternakan udang akan disalurkan kepada sungai dan akibatnya, sungai akan tercemar dengan bahan toksik,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu, di sini, kelmarin.

Selain air sungai menjadi toksik dan tercemar serta banjir, pihaknya mendakwa, projek tersebut memberi kesan kepada kemusnahan kawasan pembiakan hidupan laut, sangkar penternakan ikan penduduk tempatan terjejas, hakisan tanah dan mendapan tanah serta masalah sosial akibat pengambilan buruh yang mungkin menggunakan khidmat buruh asing.

Projek tersebut dimajukan Syarikat Blue Archipelago Berhad iaitu anak syarikat Khazanah Nasional yang diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan.

Projek terbabit melibatkan keluasan 1,000 hektar meliputi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampung Banggol di Dewan Undangan Negeri (Dun) Permaisuri membabitkan kos sekitar RM300 juta dengan pelaksanaan tersebut berlangsung sekitar dua tahun lalu.

Selain melibatkan kawasan hutan paya gelam, Zulkefly berkata, kawasan tersebut melibatkan pengambilan tanah rakyat dalam bentuk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB).

Walaupun projek tersebut mendapat sokongan Laporan Kesan Terperinci Alam Sekitar (DEIA), namun katanya, ia tidak mengambil kira kajian menyeluruh oleh DEIA serta tidak mengambil pandangan semua pihak termasuk rakyat.

Menurutnya, rakyat turut kehilangan tanah RTB apabila kerajaan mengambil tanah di kawasan itu kepada pemaju dengan taraf pajakan selama 30 tahun mengakibatkan penduduk di kawasan sekitar hilang mata pencarian.

“Orang kampung bukan meneroka tanah kerajaan secara haram tetapi diusahakan dengan lesen menduduki sementara (TOL) yang diberikan kerajaan Pas Terengganu dahulu. Apabila bertukar kerajaan, lesen tidak disambung semula tetapi orang kampung terus mengusahakan tanah dari tahun 2000 hingga 2009,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bukan mengetepikan pembangunan tetapi menegaskan sebarang bentuk kemajuan yang ingin dilaksanakan perlu mengambil berat kesan terhadap alam sekitar termasuk segala perkara berkaitan kelangsungan hidup rakyat.

“Kita mengharapkan suatu kajian terperinci, satu tindakan bersepadu, tindakan komprehensif daripada Kerajaan Negeri dengan menangguhkan projek ini sehingga soal berkaitan alam sekitar dapat diatasi terlebih dahulu, “ katanya.

Ulasan