Bekas Felo Akademik Saman UNISZA


- Dipecat kerana menegur pentadbiran tentang masalah pemakaian dan pergaulan pelajar
KUALA TERENGGANU
– Seorang bekas Felo Akademik Univesiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang telah dipecat kerana menghantar ‘email’ kepada Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Institusi tersebut telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi disini pada Isnin, 20 Februari.


Menurut Wan Mohd Azziadi Bin Wan Abd Jalil, 29, (Gambar bawah) beliau ditawarkan  jawatan sebagai Felo Akademik dibawah Skim Latihan Pegawai Akademik Universiti pada 24 Disember 2009.

Walaupun  beliau merupakan Felo Akademik yang bertanggungjawab menyambung pelajaran sahaja, namun telah diminta oleh UNISZA  mengendalikan kuliah pelajar Diploma bagi subjek Investment  dan subjek Islamic Financial Institution and Market bagi semester 1 sesi 2010/2011.

Pada 11 September, 2011, Dekan Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan, Prof. Madya Dr. Ahmad Shukri bin Yazid atas arahan Naib Canselor Profesor Alias Daud, telah memaklumkan kepadanya, bahawa jawatan Felo dan tugas mengajar beliau telah ditarik balik.

“Alasan lisan yang telah dimaklumkan kepada saya mengenai penarikan balik tugas pengendalian kuliah berkenaan adalah disebabkan oleh satu email berbentuk cadangan dari saya kepada Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertarikh 6 September, 2011,

“dalam email tersebut antara lain saya mencadangkan kepada pihak HEPA agar mengawasi tentang hal pemakaian dan pergaulan para pelajar UniSZA,”ujarnya ketika ditemui

Selepas itu, katanya, melalui peguamnya beliau telah menghantar satu surat pada 27 Oktober , 2011 memohon penjelasan daripada pihak universiti terbabit.

Namun katanya, Pihak UNISZA pada 6 Disember, 2011, telah menghantar  Notis Penamatan Jawatan Felo Akademik bertarikh 06.12.2011 yang telah ditandatangani sendiri oleh Pendaftar UniSza, Prof.Madya Dr. Nik Wan bin Omar.

Oleh itu, Wan Mohd Azziadi merasakan tindakan UNISZA memecatnya  adalah satu tindakan yang tidak munasabah.

“Saya rasa teraniya, dan ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa, tindakan berlebihan, tidak munasabah,

“ia satu tindakan yang zalim, berniat jahat, hasad dengki dan tidak berperi kemanusian serta sesuka hati,”jelasnya.

Justeru, beliau memohon kepada mahkamah untuk  membuat dan mengeluarkan perintah satu pengisytiharan bahawa notis penamatan keatasnya adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau juga menuntut supaya dilantik semula sebagai pensyarah kontrak. dan menuntut pihak UNISZA membayar gaji kebelakang (back wages) bermula pada 23 Ogos 2011, iaitu tarikh sepatutnya beliau dilantik sebagai pensyarah kontrak.

Beliau turut menuntut gantirugi teladan (exemplary damages ) dari pihak UNISZA atas tindakan yang di luar kesusilaan undang-undang.

Ulasan