PAS Besut Yakin Agenda OTB 4+1 akan mencapai kejayaan


BESUT - Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad yakin misi dan visi agenda “Operasi Tawan Besut” (OTB) 4+1  akan mencapai kejayaan dan PAS akan memenangi kesemua kerusi-kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen pada Pilihanraya ke-13 akan datang.

Meski pun pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) mempersendakan hasrat dan cita-cita PAS menawan Besut namun ia tidak mematahkan semangat, malah menabahkan daya juang jentera pilihanraya PAS.

“Jentera PAS di Besut sedia bekerja keras untuk mempastikan hasrat dan cita-cita kita untuk tawan Besut pada pilihan raya akan datang.

“Misi dan Visi kita (PAS) jelas untuk menjayakan OTB 4+1 iaitu ‘Operasi Tawan Besut’ dengan kemenangan empat (4) Dun dan satu (1) Parlimen di Besut.

“Walau pun pihak lawan (BN) kita tidak optimis dengan rancangan kita (PAS) untuk dapat tawan (menang) di Besut ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya PAS Besut oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nikmat, di sebuah Resort, Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan, semalam.

Menurutnya, 100 cawangan PAS seluruh Besut telah digerakkan secara maksima bagi memastikan agenda “OTB 4+1” tersebut menjadi kenyataan.

Bahkan, tanda-tanda awal kejayaan telah dilihat apabila program mencari dana pilihan raya sebanyak RM100 ribu melalui penganjuran majlis makan hari itu, mencapai sasarannya.

Ustaz Wan Azhar menegaskan hasrat PAS Besut menjayakan misi tersebut tidak mustahil kerana parti itu pernah memenangi semua kerusi Dun dan Parlimen pada tahun 1999, lalu.

Katanya, PAS Terengganu juga bakal mengulangi sejarah kemenangan besar parti sebagaimana pilihan raya pada tahun 1999-2004.

Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Limbungan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Ketua Muslimat PAS Terengganu dan Setiausahanya, Cikgu Safinah Jusoh dan Raja Endut Raja Abdul Rahman.
Komen:

Ulasan