PAS Gesa DiKembalikan Pinjaman Kepada Pelajar Mesir


KUALA TERENGGANU – PAS menggesa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta Yayasan Terengganu bertindak adil dan mengembalikan pinjaman pelajaran sembilan pelajar Mesir yang ditamatkan melalui surat yang dihantar Yayasan Terengganu pada 22 Februari baru-baru ini.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat kerajaan patut menilai semula tindakan penamatan tersebut kerana Himpunan BERSIH bukan himpunan politik dan pelajar tersebut sebagai mahasiswa mempunyai hak menyuarakan suara dan hasrat mereka.

Beliau menyifatkan pelajar tersebut tidak melanggar Akta Universiti dan Kolej Univesiti kerana Negara Mesir tidak tertakluk dengan akta tersebut.

“PAS peka perkara ini, diharap mereka (pelajar) diberi peluang, sebab dalam Himpunan BERSIH itu sebenarnya bukan berkait dengan (soal) parti (politik) sebagaimana yang dimaklumkan (dinyatakan) oleh Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said,

“pihak Yayasan (Terengganu) boleh menggunakan budi bicara dan mereka diberi peluang kedua, kita juga bertanya (mempersoalkan) hak pelajar tentang hak mereka sebagai mahasiswa menyuarakan hasrat mereka,”ujarnya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Zakaria Yusof, di sini semalam 19 Mac.

[Gambar - Ustaz Satiful bersama anggota rombongan PAS Terengganu, Ustas Mohd Soud Said, Ustaz wan Sukairi Wan Abdullah dan Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi ketika berbincang dengan Pengarah yayasan Terengganu, Haji Zakaria Yusof].

Beliau yang juga Pengerusi Lujnah Tarbiyah Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu menekankan supaya pelajar tersebut turut diberi hak yang sama dalam politik kerana katanya terdapat Kelab Umno di Mesir yang dikendalikan oleh para pelajar yang juga pemegang pinjaman YT.

Beliau berkata pelajar tersebut tidak ditangkap dan didakwa, tetapi mereka didapati ‘bersalah’ kerana gambar dalam internet dan kemudian diberi surat tunjuk sebab.

Oleh itu beliau harap Lembaga Pengarah YT menyemak kembali keputusan menamatkan pinjaman pelajaran tersebut demi masa depan mereka.

“Pelajar  itu didapati bersalah berdasarkan gambar yang terdapat dalam ‘facebook’, (kemudian) mereka diberi surat tunjuk sebab dan menjawab berdasarkan surat tersebut,

“jadi, kita rasa ia penting kepada Lembaga Pengarah YT, kita harap keputusan (penamatan) itu diubah balik, berdasarkan (demi) masa depan dia (pelajar)”jelasnya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan, hasil perbincangan dengan pihak YT, penamatan pinjaman para pelajar tersebut akan dipertimbangkan untuk diberikan semula sekiranya mereka membuat rayuan kepada YT.

Menurut Ustaz Satiful yang juga bekas pelajar Universiti al-Azhar, YT meminta kerjasama pelajar terbabit agar membuat rayuan sebelum 10 April depan kerana Mesyuarat Lembaga Pengarah akan diadakan pada tarikh tersebut.

“Kita mengharapkan Yayasan menggunakan budi bicara, kita dimaklumkan pelajar boleh membuat rayuan, Mesyuarat Lembaga Pengarah (YT) akan dibuat pada 10 April ini,

“jadi kita akan tunggu tarikh itu, kita harap dikembalikan semula pinjaman memandangkan latarbelakang kewangan dan keluarga pelajar (itu) tidak mampu,

“ada (antaranya bekerja sebagai) nelayan, peniaga, pesara, buruh dan pemandu teksi dan dua (daripada sembilan) pelajar itu ambil pengajian perubatan, kos (pembiyaan pelajaran) tinggi,”katanya

Sehubungan itu, beliau mewakili PAS berkata YT wajar memberikan peluang kedua mengembalikan semula pinjaman kepada para pelajar terbabit.

Turut bersama rombongan tersebut adalah timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiyah PAS Terengganu Ustaz Mohd soud Said, Pengarah Jabatan Penerangan  ustaz wan Sukairi Wan Abdullah dan Penolong Setiausaha 2 Pemuda Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi

Ulasan