Setelah Tidak Dapat menjawab Isu YB Umno 'Baham Tanah'


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu  Dato’ Seri Ahmad Said yang tertekan dengan isu pemberian tanah anugerah kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) kini mula memutar belitkan isu tanah.

Beliau mendakwa kerajaan PAS Terengganu juga mengagihkan kawasan tanah yang luas kepada wakil rakyat PAS sehingga 50 hektar pada tahun 1999 hingga 2004.

[Gambar - Pelan permohonan Tanah YB ADUN Batu Rakit Khazan Che Mat yang diluluskan pada akhir tahun 2011}
Sehubungan itu, mantan Adun Ladang, Dr Sulaiman Abdullah menjelaskan Projek Lembah Limau di Blok 5 Ketengah, Kampung Durian Mentangau, Dungun adalah projek tajaan kerajaan Barisan Nasional.

Menurutnya, tanah seluas 50 hektar bagi setiap lot yang telah disediakan oleh kerajaan BN Terengganu sebanyak 18 lot.

Katanya, projek-projek tersebut telah ditawarkan kepada para pelabur syarikat berkaitan kerajaan dan juga Syarikat Sdn. Bhd pada tahun 1996 bagi dimajukan perusahan tanaman limau madu.

“Projek (Lembah Limau) itu hanya diminati oleh 9 buah syarikat yang memohon termasuk dengan Syarikat Imbasan Padu Sdn. Bhd.

“Syarikat (Imbasan Padu) ini dimiliki oleh Dr Sulaiman Abdullah dan isteri Dr Che Hamidah Che Abdul Kadir yang pada waktu itu belum lagi menjadi wakil rakyat (Adun Ladang),” ujarnya pada satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, pada tahun 1998, pihak Ketengah yang dipengerusikan MB Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad waktu itu telah meluluskan kepada semua permohonan 9 syarikat yang memohon projek tersebut.

Bahkan, katanya segala perancangan dan persediaan termasuk anak benih telah dibuat serta surat kelulusan bagi menebas hutan turut dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

“Pada awal 1999, Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan hanya kepada lapan buah syarikat sahaja dan permohonan dari Syarikat Imbasan Padu Sdn. Bhd telah ditolak atas dasar diskriminasi politik.

“Pada tahun 2000 kerajaan PAS Terengganu telah meluluskan permohonan tanah dan projek itu kepada syarikat Dr Sulaiman dan isterinya (Imbasan Padu Sdn. Bhd) atas dasar keadilan,” jelasnya.

Dr Sulaiman mendakwa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Exco Pertanian waktu itu menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pertanian Negeri memberitahu permohonan Syarikat Imbasan Padu ditolak kerana diskriminasi politik kerajaan BN.

Katanya, tidak timbul soal tanah anugerah atau diluluskan semata-mata kepada wakil rakyat PAS kerana syarikat telah dinafikan hak sebelum itu.

“Mungkin juga muka saya telah ‘dicop’ sebagai orang PAS dan sebab itu permohonan tanah tidak diluluskan waktu itu walau pun diluluskan kepada orang lain.

“Syarikat saya layak sebab itu telah diluluskan permohonan oleh Ketengah, cuma pihak Exco Kerajaan Negeri yang tolak kerana diskriminasi politik,” ujarnya.

Beliau menegaskan projek tanaman limau madu di Lembah Limau itu merupakan projek kerajaan Umno-BN Terengganu.

Menurutnya, pada tahun 2008, kerajaan BN Terengganu telah meluluskan pemberian tanah secara pajakan melalui tabung amanah warisan kepada 9 buah syarikat lagi bagi fasa II pembangunan tanah.

Ulasan