Kerajaan Sepatutnya Melindungi Harta Rakyat, Bukan Merampas!


KUALA NERUS – Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Banggol Donas, Haji Salleh Embong menyangkal kenyataaan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berhubung dengan pengambilan tanah di kampung terbabit seperti yang di siarkan oleh sebuah akhbar pada 25 April 2012.

Menurutnya, penduduk kampung Banggol Donas tidak pernah membantah pembinaan jalan tersebut.


“Yang kami bantah ialah jajaran yang melibatkan rumah-rumah kediaman penduduk kampung Banggol Donas kerana masih ada tanah lapang di tepi kampung yang boleh dibina dengan lebuhraya,”jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, lewat malam Rabu 25 April.

Beliau menegaskan, beliau sudah berkali- kali menghantar surat kepada pihak berkuasa semenjak tahun 2008 lagi.

Namun, beliau kesal kerana tidak ada surat jawapan dan tidak ada perundingan yang dibuat dengan penduduk kampung.

Katanya, pengambilan tanah selebar 300 kaki untuk dibina jalanraya itu, akan melenyapkan sebahagian kampung Banggol Donas, sebuah kampung tradisi orang melayu.

Beliau berkata, sehingga hari ini pembinaan jalan tersebut belum dimulakan di kawasan kampung, justeru, sepatutnya tidak ada apa-apa masalah sekiranya kerajaan mengubah laluannya.

[Gambar bawah - Haji Salleh Embong menunjukkan tanah lapang bersebelahan masjid Kampung Banggol Donas, yang beliau cadangkan sebagai jajaran baru pembinaan jalan terbabit bagi mengelakkanprojek tersebut 'melanggar' rumah penduduk]

“Sehingga hari ini pembinaan di kawasan kampung  belum lagi di mulakan, jadi, apakah masaalahnya kalau hendak di ubah?
“Kalau di Kuala Lumpur pembinaan MRT boleh di elak dari bangunan kedai dengan pembinaan ‘tunnel’ di Jalan Sultan, kenapa kampung  kami menjadi mangsa kepada pembangunan?

“(ia) belum lagi di mulakan, jadi, apakah masaalahnya kalau hendak di ubah?,”soal Hji Salleh yang juga Pengerusi Gerakan Pembelaan Tanah Rakyat Terengganu (GEMPAR)

Berhubung dengan bayaran pampasan pula, beliau menyeru supaya pihak kerajaan mematuhi seksyen 16 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) dengan menghantar notis Borang H terlebih dahulu kepada pemilik.

“kerajaan hendaklah mematuhi seksyen 16 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) dengan menghantar notis Borang H terlebih dahulu kepada pemilik,

“bukan terus buat cek bayaran tanpa memberi ruang kepada pemilik tanah untuk membantah, jangan ada unsur menyekat dari mendapatkan hak kami,”tegasnya.

Beliau turut menasihatkan Ahmad Said, agar lebih faham perbezaan di antara urusan kerajaan dengan urusan politik kerana menurutnya, urusan pengambilan tanah adalah urusan kerajaan dan bukan urusan parti politik.

“kami berharap Menteri Besar dapat membezakan membezakan antara kerajaan dan fahaman politik, kami bantah bukan kerana kami orang PAS,

“yang kami bantah ialah jajaran yang melibatkan kampung kami dan pelaksanaan tidak ikut prosedur Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486),”jelasnya.

Tindakan kerajaan memulakan pembinaan diatas tanah milik sebelum di wartakan, katanya, adalah satu rampasan yang jelas dan nyata.

“Apabila Pejabat Tanah tidak menghalang kontraktor melakukan kerja-kerja pembinaan diatas tanah yang belum di wartakan, bukan kah itu merampas maknanya?

“Apabila JKR membiarkan kontraktor melaksanakan pembinaan diatas tanah yang belum di wartakan, bukankah itu merampas maknanya?,”soal Haji Salleh

Justeru katanya, kerajaan tidak wajar menyalahkan rakyat dalam mempertahankan hak mereka, kerana sepatutnya, kerajaan lah yang melindungi hak rakyat jelata.

“Jangan salahkan rakyat, sepatutnya kerajaan negeri melindungi harta kami, selaras dengan Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan, bukan menuduh kami menentang pembangunan!,”tambahnya.

Ulasan