Penternakan Udang I-Sharp; Jangan Ulangi Kesilapan di Kedah


SETIU – Pengerusi Lujnah Pertanian dan Asas Tani PAS Pusat, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah menggesa kerajaan negeri Terengganu tidak  ‘merampas’ tanah RTB Kubang Labi di Permaisuri dekat sini untuk dijadikan kolam ternak udang putihbersepadu I-Sharp.

Menurutnya,  pengalaman penternakan udang yang sama oleh syarikat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) di negeri Kedah belum mencapai sasaran sepatutnya ekoran para pemilik tanah yang tidak redha dengan pembangunan projek terbabit.

“Pertamanya, saya ingin sebutkan disini bahawa pengalaman yang berlaku di Kedah itu saya ingat tidak seharusnya diulangi di (negeri) Terengganu ini,

“kalau nak buat apa-apa projek pun saya rasa, mereka (kerajaan) haruslah berbincang secara elok-elok (baik) supaya pengambilan tanah tidak menimbulkan sebarang kontroversi dan paksaan,”tegasnya.

Beliau yakin apabila tuan tanah tidak bersetuju dan merasa diri mereka dizalimi, maka doa mereka adalah makbul kerana tidak ada hijab antara mereka dengan Allah.

Dato’ Amiruddin yang juga Exco Pertanian dan Industri Asas Tani kerajaan negeri Kedah berkata demikian dalam satu sidang media di Kampung Jelapang pada Sabtu 14 April, sempena mesyuarat dan lawatan Lujnah Pertanian dan Asas Tani PAS Pusat ke negeri Terengganu

Menurutnya, peserta RTB Kubang Labi mempunyai hak terhadap tanah mereka  walaupun berstatus  Lesen Menduduki Sementara (LMS).

Katanya, beliau difahamkan, kalau ditolak tanah-tanah milik RTB Kubang Labi itu, kerajaan masih mempunyai ruang yang cukup luas untuk melaksanakan projek tersebut.

“Saya difahamkan, kalau tanah-tanah RTB ini, tanah yang milik kerajaan juga masih luas, mengapa dimasukkan sama (tanah) mereka yang telah mendapat LMS itu kalau mereka tidak redha,”soalnya.

Beliau memaklumkan kerajaan negeri Kedah telah menjual saham-sahamnya dalam Khazanah dan beliau difahamkan, Khazanah juga telah menjual sepenuhnya projek kolam udang di Kerpan itu kepada sebuah syarikat lain.

Beliau berpendapat, penjualan itu dilakukan mungkin kerana Khazanah tidak mahu menceburkan diri dalam indutri penternakan udang.

Katanya, sehingga kini, projek penternakan udang  di negeri Kedah itu belum mencapai tahap yang menguntungkan walaupun dilaporkan pengeluarannya meningkat.

“mungkin Khazanah mengatakan ia bukan satu industri yang mahu mereka ceburi, yang saya faham (projek) di Kedah itu, sehigga kini, mereka masih belum mencapai (tingkat) pengeluaran yang menguntungkan, walaupun ‘trend’nya semakin meningkat,”jelasnya.
Katanya, walaupun ia adalah ‘trend’ yang  positif, setelah ditolak perbelanjaan modal, projek tersebut masih belum menguntungkan.

Turut sama dalam sidang media tersebut adalah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu merangkap Ketua Lujnah Pertanian, Haji Muhyidin Abdul Rashid  dan Naib Yang Dipertua PAS Setiu merangkap Pengerusi I-Bantah, Dr Azman Ibrahim.

I-Bantah adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang juga merupakan Jawatankuasa Bertindak Rampasan Tanah RTB Kubang Labi.

Sebelum ini I-Sharp menegaskan bahawa rakyat tidak menolak pembangunan kolam udang itu tetapi menyarankan agar projek I-Sharp dilaksanakan dalam skala yang lebih kecil dengan tidak melibatkan tanah RTB Kubang Labi.

Ulasan