Umno Atur Pertemuan Zakaria Dengan Mad Said


MARANG - Umno Terengganu sedang mengatur satu pertemuan antara Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dengan abang kepada Dato’ Mustafa Ali iaitu Haji Zakaria @ Supar Ali dalam masa terdekat ini.

Haji Zakaria, 70, diberi peluang bertemu dengan Ahmad yang juga Menteri Besar (MB) Terengganu pada hari Rabu sekitar jam 2.30 petang, 18 April ini di Pejabat Umno Terengganu, Jalan Batas Baru, di Kuala Terengganu.


Beliau memaklumkan, pertemuan tersebut ekoran dari pertemuan yang telah dibuat oleh Haji Zakaria bersama pimpinan Umno di pejabat Umno negeri Terengganu.

Beliau menggesa agar Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu segera mengambil tindakan melaksanakan Undang-undang Jenayah Syariah Islam termasuk hudud.

Ini kerana, kata Haji Zakaria pendiriannya selama ini bahawa pelaksanaan hukum tersebut akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah ‘penyakit’ masyarakat sekarang.

“Saya (Zakaria) akan bertemu dengan Dato’ Seri Ahmad Said, selaku Menteri Besar Terengganu supaya dia (kerajaan) ambil tindakan untuk laksanakan Undang-undnag Jenayah Syariah Islam termasuk hukum hudud.

“Jika tidak laksanakan hukum Islam, saya bimbang akan menghadapi masalah bencana dalam negeri kita. Macam-macam penyakit masyarakat berlaku dengan zinanya, dengan buang anaknya dan dengan maksiat yang banyak.

“Saya yang uzur ini menunggu-nunggu kerajaan menjalankan pentadbiran Islam. Masalahnya, kerajaan yang ada sekarang (BN) tidak bersedia melaksanakan pemerintahan itu,” ujarnya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Seberang Marang, 15 April lalu.

Menurutnya, pelbagai gejala penyakit masyarakat yang berlaku setiap hari tidak dapat diselesaikan dengan undang-undang yang sedia ada hari ini.

Sebelum itu, pada pertemuannya dengan pegawai kakitangan pejabat Umno negeri dicadangkan agar mengemukakan pandangan tersebut kepada Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said.

Namun begitu, beliau berharap agar ‘Mat Said’ (Ahmad) akan lebih jujur dari mantan MB Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh yang pernah memerangkapnya bagi tujuan kepentingan politik Umno-BN.

“Kali ini, saya harap Dato Seri Ahmad Said ini akan lebih jujur daripada Dato Seri Idris Jusoh. Pada tahun 2007, dalam isu yang hampir sama saya diatur bertemu dengan dia (Idris).

“Waktu itu, dekat pilihan raya dan saya dibawa ke satu majlis perasmian Perkampungan Hadhari di Marang. Saya hanya membaca skrip yang disediakan dan selepas itu tidak ada apa-apa hanya untuk kepentingan politik Umno-BN sahaja,” jelasnya.

Oleh itu, kata Haji Zakaria pada pertemuannya dengan Dato’ Seri Ahmad kali ini bercadang membawa pengiring sebagai saksi perbincangan tersebut.

Beliau tidak mahu mengulangi peristiwa dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu berhubung dengan pertemuan dengan MB Terengganu.

“Pada pertemuan dengan MB kali ini, saya akan membawa pengiring saya sebagai saksi tentang perbincangan yang akan berlaku antara saya dengan Ahmad Said.

“Ini penting, supaya siapa pun tidak boleh memanipulasikan pertemuan itu untuk tujuan-tujuan lain melainkan kerana saya merasa bertanggungjawab sebagai seorang Islam, seorang rakyat di negeri ini menjadi kewajipan kerajaan melaksanakan undang-undang Islam ini.

“Sebab, manusia perseorangan tidak boleh buat dan oleh kerana negeri Terengganu, Enakmen Kanun Jenayah Syariah ini telah dikanunkan di zaman pemerintahan PAS tahun 2003, tapi tidak sempat dilaksanakan dan menjadi tanggungjawab kerajaan yang ada ini untuk melaksanakan itu,” tegasnya ketika ditemui.

Ketika ditanya, apakah jaminan yang Umno-BN tidak membuat manipulasi berhubung dengan pertemuan tersebut beliau akan meminta tandatangan bukti persetujuan tersebut.

“Saya akan meminta, apa juga persetujuan yang dipersetujui oleh Ahmad Said (MB Terengganu) ini akan ditandatangani sebagai satu bukti yang sahih komitmen untuk melaksanakan ini. Bukan cakap kosong macam Idris (bekas MB) dahulu.

“Saya harap pertemuan pada hari Rabu (18 April) ini berjalan dalam keadaan harmoni untuk kepentingan Islam, masyarakat, negeri dan negara ini,” ujarnya.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab kepada mana-mana pemerintah negeri termasuk Umno dan kerajan Barisan Nasional melaksanakan hukum Islam (hudud) tersebut.

Bahkan, katanya, jika Umno-BN tidak bersedia melaksanakan hukum Islam tersebut menjadi tanggungjawab pihak lain yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana parti memerintah negeri ini. Sekarang Umno, maka Umnolah yang bertanggungjawab. Jika orang ini (Umno) tidak bersedia, adalah menjadi tanggungjawab pihak lain yang bakal mengambil tampuk pemerintahan negeri.

“Saya selalu berdoa dan bersembahyang hajat supaya diberi kemenangan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjalankan tugas itu.

“Saya nak beritahu pemerintah (Umno-BN) hendaklah bersedia menjalankan hukum hudud dan mengistiharkan hukum hudud di negeri ini. Saya sedia untuk mendoakan supaya Umno berkuasa dengan hukum hudud yang diistiharkan itu. Jika tidak, saya akan mendoakan kejatuhan kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya,” tegasnya.

Beliau mendakwa pernah diperdayakan, dikhianati dan dianiya oleh pemimpin Umno yang tidak jujur dengan hasratnya bagi melihat kepentingan Islam diutamakan.

Ulasan