Allahyarham Madhan Seorang Pendidik Yang Berdedikasi


KUALA NERUS - Allahyarham Mohd Madhan Mohamad, 33, merupakan bekas Setiausaha Kerja PAS Kawasan Kuala Nerus yang juga tenaga pengajar di Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) Paka, Dungun.

Allahyarham Madhan mengalami kemalangan jalan raya di sempadan Marang-Dungun di Km 58.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Rantau Abang sekitar jam 2.00 petang, 16 Jun.

Beliau difahamkan dalam perjalanan pulang ke Kampung Petaling, Tepoh setelah selesai menyertai program gotong-royong di SRIDB bersama guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun, dikatakan memotong sebuah kenderaan lain sebelum merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Pemandu kereta yang berusia 20-an dari Dungun itu membuat laporan di Balai Polis Merchang serta disahkan oleh Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya berhubung kejadian tersebut.

Allahyarham Madhan merupakan menantu kepada bekas Exco  Kerajaan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh pada tahun 1999-2004, lalu.

Selepas enam bulan pemergian isterinya yang juga Ketua Muslimat PAS Kuala Nerus, Allahyarham Tengku Aminah Tengku Ali akibat serangan Leukemia, kini Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah ‘kehilangan’ pula menantunya akibat kemalangan jalan raya, semalam.

Allahyarham Madhan meninggalkan seorang balu Tuan Anisah Karinah Abu Bakar serta tiga orang anak lelaki berusia tiga hingga enam tahun.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Kampung Petaling yang diimamkan oleh bapa mertuanya, Ustaz Abu Bakar bersama hampir 500 orang ahli jamaah serta dikebumikan pada jam 10.15 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lerek, Tepoh.

Hadir sama mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Madhan termasuk sebahagian besar pimpinan PAS Terengganu, ahli keluarga serta sahabat handainya.

Sementara itu, Mudir SRIDB, Che Wan Mustafa Che Wan Kaman menyifatkan pemergian Allahyarham Madhan satu kehilangan besar kepada perjuangan dan pendidikan Islam di negeri ini.

Katanya, Allahyarham merupakan tenaga pengajar yang berdedikasi kelulusan Universiti Al-Azhar Mesir yang mula berkhidmat pada tahun 1998 di SRIDB.

“Kami (SRIDB) merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarganya dan berharap segala perkhidmatan Allahyarham itu dikira sebagai amal jariah dalam pendidikan Islam.

“Allahyarham mengajar Quran, Feqah, Syariah dan beberapa subjek agama Islam untuk pelajar tahun satu hingga empat di SRIDB, Paka Dungun,” ujarnya ketika ditemui di bilik mayat (Forensik) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Menurut Che Wan Mustafa, sehari sebelum kemalangan tersebut Allahyarham Madhan dan keluarga pulang ke kampungnya di Petaling Tepoh dan datang semula keesokan hari dengan menaiki motosikal bagi menyertai majlis gotong-royong di SRIDB.

Kata beliau, selesai program tersebut sekitar jam 1.00 tengahari dan selepas makan bersama serta solat zohor Allahyarham dikatakan pulang semula ke Kuala Terengganu.

Ulasan