Bangunan Dalam Pembinaan Dalam Kawasan Astaka Runtuh


- PAS desak pembinaan di hentikan untuk siasatan segera!
BESUT
– Sebuah bangunan dalam pembinaan dalam kawasan Astaka di bandar Jertih dekat sini dilaporkan telah runtuh pada kira-kira jam 2.45 petang hari ini Khamis 21 Jun.

Menurut Yang DiPertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad runtuhan tersebut telah menghempap para pekerja yang bertugas membina bangunan terbabit.

“bangunan tersebut dalam pembinaan, runtuhan telah menghempap para pekerja yang sedang bekerja dan sehingga kini enam orang telah diselamatkan dan dikeluarkan dari runtuhan,”ujarnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurutnya, pihak penyelamat sedang bertungkus lumus menjalankan usaha bagi mengeluarkan empat orang pekerja lagi yang dipercayai masih tertimbus.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera parah di hantar ke hospital Besut.

“Enam orang cedera parah, luka-luka da nada yang patah, mereka dihantar ke hospital Besut, saya dimaklumkan penyelamat sedang mencari empat lagi pekerja binaan yang masih tertimbus,”jelasnya.

Oleh itu, beliau mendesak supaya bangunan keajaan yang sedang dalam pembinaan itu dihentikan serta merta pembinaannya bagi membolehkan satu siasatan dilakukan.

“kita mendesak supaya projek pembinaan bangunan itu dihentikan serta merta, supaya satu siasatan dapat dijalankan secara terperinci,”tegasnya.

Ulasan