Pertambahan Pengundi Muda Faktor Kejayaan PAS (Key Success Factor) Pada PRU-13

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita2/pc%20rumah%20terbuka.jpgKUALA TERENGGANU - Pertambahan pengundi muda adalah antara kunci faktor kemenangan (Key Success Factor) PAS yang akan mengembalikan semula negeri ini kepangkuan PAS pada pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata jumlah pengundi muda di negeri ini antara 45 hingga 50 peratus.

Katanya, potensi besar untuk menang atau kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di Terengganu banyak bergantung kepada sokongan pengundi muda.

Menurutnya, ramai di kalangan pengundi tersebut berada di luar Terengganu sebagai pengundi luar kerana bekerja serta dikenal pasti oleh jentera parti.

“Kajian yang kita (PAS) buat melalui Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPN), jumlah pengundi muda di Terengganu ini agak tinggi antara 45 hingga 50 peratus.

“Mereka (pengundi) ramai yang berada di luar dan kita (PAS) telah berjaya kesan dan kenal pasti kedudukan, alamat mereka di sana (tempat kerja), Insya’Allah,"ujarnya ketika ditemui.

Selain faktor tersebut, beliau berkata, gelombang kebangkitan rakyat pada kali ini turut 'merebak' kepada pengundi Tionghua di negeri-negeri Pantai Timur termasuk negeri Terengganu.

Katanya walaupun kocakan gelombang tidak sama dengan yang berlaku pada tahun 1999, namun ia berterusan sejak berakhir PRU-12 pada tahun 2008 dan tidak berhenti hingga hari ini.

“Sokongan pengundi Tionghua (Cina) pun ada perubahan di Terengganu berbanding tahun-tahun sebelum ini, gelombang yang berlaku pada kali ini ada tetapi berbeza degan tahun 1999,

"Pada 1999 ia umpama Taufan, namun Tsunami yang berlaku sejak pilihanraya umum ke-12 tahun 2008 tidak berhenti sehingga kini,”jelasnya.

Justeru, katanya, Umno Terengganu tidak boleh cakap besar pada pilihan raya ini rakyat akan sokong kerajaan Barisan Nasional lagi.

Sehubungan itu, katanya, pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat sudah selesai di negeri Terengganu.

Berdasarkan 'status Quo' pada pilihan raya tahun 2008 PAS Terengganu bertanding 27 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan lima kerusi Parlimen. Manakala, kerusi selebihnya ditandingi oleh rakan Pakatan Rakyat dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) sebanyak lima Dun serta dua Parlimen.

Oleh itu, kata Ariffin, berdasarkan kesepakatan lalu PAS Terengganu akan mengekalkan jumlah bilangan kerusi yang dipertandingkan itu.

Katanya, secara umum PAS Terengganu telah berjaya menyelesaikan kesemua bakal-bakal calon pilihan raya akan datang.

Menurutnya, paling kurang sejumlah 20 kerusi pilihan raya menjadi ‘target’ serta berpeluang cerah untuk menang.

“Kita (PAS) telah berjaya selesai bakal-bakal calon pilihan raya dan paling kurang 20 kerusi ‘target’ (sasaran) ada peluang cerah untuk menang, Insya’Allah.

“Pilihan raya kali ini, kita (PAS) akan ketengahkan hamper lebih 70 peratus adalah calon muda, sama ada calon itu yang pernah bertanding atau yang belum pernah bertanding.

“Kesemua (calon) mereka itu ada Ijazah atau Diploma termasuk di kalangan ulama’ dan professional sama ramai (50 peratus),” jelasnya.

Sebab itu, kata beliau pemilihan calon di kalangan orang muda menjadi taruhan parti bagi menawan hati para pengundi muda di negeri ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengesahkan perbezaan gelombang perubahan politik tahun 1999 berbeza dengan gelombang masa kini.

Katanya, gelombang 1999 berlaku kerana kemarahan orang Melayu terhadap Umno-BN berkait dengan isu pemecatan dan penganiayaan terhadap individu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tengok, kaji dan teliti secara mendalam perkembangan politik hari ini agak berbeza antara gelombang tahun 1999 dengan mutakhir ini.

“Gelombang kali ini lebih kepada kesedaran politik bukan Melayu seperti orang Cina dan India menolak Umno dan kerajaan Barisan Nasional seluruh Negara. Tapi, faktor Anwar masih ada dan kita tidak tolak mentah-mentah,” ujarnya.

Ulasan