Gencatan Senjata Sempena Aidiladha 'Kelabu'

AMMAN: Tentera Presiden Syria, Encik Bashar Al-Assad, terus menggunakan kereta kebal dan melancarkan roket ke arah sebuah kawasan luar bandar Damsyik semalam.

Serangan itu membunuh lima orang, kata aktivis pihak pembangkang sehari sebelum gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya berkuat kuasa.

Pertempuran di Harasta, ke timur laut Damsyik, tercetus setelah pihak pemberontak melepasi dua sekatan jalan tentera di pinggir bandar itu.

Bandar tersebut berada di lebuh raya utama yang menghubungkan ibu kota Syria dengan kawasan utara negara itu, kata pihak pemberontak.

Harasta merupakan salah satu daripada kawasan luar bandar yang mempunyai ramai penduduk Sunni, yang mengelilingi ibu kota Syria itu.

Menurut para penduduk Damsyik, bunyi bedilan yang disasarkan ke arah Harasta dan kejiranan Zamalka, yang berdekatan, dapat didengar daripada tengah ibu kota.

Kelmarin, utusan damai PBB-Liga Arab bagi konflik Syria, Encik Lakhdar Brahimi, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa Encik Assad telah menerima gencatan senjata sempena musim cuti Aidiladha yang bermula hari ini.

"Pemerintah Syria telah setuju melaksanakan gencatan senjata semasa Hari Raya," kata Encik Brahimi di Kahirah, sambil menambah Damsyik akan membuat pengumuman rasmi mengenai hal itu kemudian.

Menurut Encik Brahimi, kebanyakan pemimpin pemberontak yang dihubungi turut menyatakan persetujuan melaksanakan perdamaian sementara.

Namun, beberapa laporan menukil pihak pemberontak sebagai berkata bahawa mereka akan hanya melaksanakan gencatan senjata jika askar-askar rejim Encik Assad berbuat demikian terlebih dahulu.

Seorang aktivis pihak pembangkang yang berada di Damsyik, Encik Moaz al-Shami, berkata "tiada siapa yang serius tentang gencatan senjata itu".

"Bagaimana mungkin ada gencatan senjata sedangkan kereta kebal masih berkeliaran di jalan-jalan; terdapat sekatan jalan setiap beberapa ratus meter; dan pihak tentera tidak teragak-agak menyerang kejiranan orang awam dengan meriam? Ini adalah rejim yang telah hilang semua kredibiliti," katanya.

Pihak pemberontak dan Washington kekal ragu tentang sebarang komitmen daripada Damsyik.

"Ramai yang ragu tentang kemungkinan berlakunya gencatan senjata walaupun sementara memandangkan rekod Encik Assad yang sering mungkir janji," kata duta Amerika Syarikat ke PBB, Cik Susan Rice, selepas taklimat oleh Encik Brahimi tentang usahanya menghentikan keganasan.

Namun, Russia menyokong kenyataan Encik Brahimi kelmarin bahawa rejim Damsyik sedia melaksanakan gencatan senjata sebagai menghormati perdamaian sementara sempena cuti empat hari Aidiladha.

Perdamaian sementara, jika dapat dilaksanakan oleh kedua-dua pihak, membawa membawa pengertian penting dalam konflik 19 bulan di Syria yang telah mengorbankan lebih 34,000 nyawa. - Reuters, AFP.

Ulasan