FROM Zulkarnain Borhan TO You + 228 More Penubuhan Bersejarah PASTI Kampung. Baru

KUALA LUMPUR - Kampung Bharu telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila sebuah PASTI telah berjaya ditubuhkan di kawasan tersebut. PASTI yang diberi nama PASTI Muhammad Al-Fateh ini akan beroperasi secara rasminya pada Januari 2013.

Majlis perasmian PASTI Muhammad Al-Fateh ini telah disempurnakan oleh Sdr. Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami selaku Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Titiwangsa. Majlis ini telah diadakan pada 22 Disember 2012 jam 3 petang. Turut hadir ialah Sdr. Mohamad Suhaimi selaku Ketua Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa dan beberapa orang ahli jawatankuasa PKWR Parlimen Titiwangsa.

Di dalam ucapan beliau, Sdr. Zamri mengucapkan tahniah kepada semua ibu bapa kerana telah memilih institusi pendidikan yang berteraskan Islam dalam mendidik anak-anak mereka. Ini kerana Kuala Lumpur merupakan bandaraya yang mempunyai gejala sosial yang begitu banyak.

"Ibu bapa yang melahirkan generasi yang memahami Islam merupakan golongan yang turut membantu agama Allah," ujar beliau.

Seramai lebih kurang 30 orang ibu bapa bersama anak-anak telah hadir ke majlis ini. Selesai majlis perasmian, para ibu bapa telah berkesempatan untuk melawat bilik-bilik pembelajaran anak-anak mereka. Di samping itu, pihak pengurusan PASTI Muhammad Al-Fateh ini juga mengambil kesempatan untuk beramah mesra bersama ibu bapa. Terdapat juga ibu bapa yang turut mengambil peluang untuk mendaftarkan anak-anak mereka.

Menurut Sdr. Suhaimi, seramai 40 orang pelajar telah didaftarkan bagi sesi pembelajaran Januari 2013 setakat ini. Bahkan beliau menjangkakan lebih ramai lagi pelajar-pelajar yang akan masuk mendaftar apabila buka sesi pembelajaran kelak.

"Insya Allah, Dewan Pemuda PAS Titiwangsa mensasarkan akan membuka sebuah lagi PASTI baru di Kampung Bharu ini pada sesi akan datang. Ini kerana terdapat begitu ramai permintaan daripada pihak ibu bapa di sekitar ini yang memohon untuk mendaftarkan anak mereka ke PASTI," kata beliau.

PASTI yang terletak di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa ini menyediakan kelas bagi murid-murid yang berumur 4 sehingga 6 tahun. Transit atau pusat asuhan sehingga petang turut ditawarkan kepada ibu bapa yang berminat. Ibu bapa yang berminat bolehlah menghubungi Saudara Suhaimi (019-3764089).

Ulasan

Salam...Inilah perjuangan. Tidak semudah bahasa perbualan...sepatutnya sudah lama PASTI di Kampung Baru beroperasi. Tentu ada halangan besar untuk dilaksanakan cita-cita ini. Didiklah benih-benih agama di kota raya itu untuk menjadikan mereka 'tentera ALLAH' semuanya. Tahniah...tahniah...tahniah... apa pun untuk menjaga dan membina kesinambungannya lagi payah...teruskan JIHAD anda...