Misi Ke Gaza Bawa Utusan Presiden PAS Kepada Ismail Haniyeh

MARANG - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata komitmen dan sokongan moral serta kebersamaan PAS terhadap perjuangan membela nasib umat Islam di Gaza dan Palestin tidak pernah luntur.

Beliau yakin, bantuan yang dihulurkan oleh umat Islam di negara ini penuh barakah dan akan memberi kekuatan kepada umat Islam di Gaza

Katanya, PAS menyediakan bantuan kepada penduduk Gaza dan rakyat Palestin mengikut kadar kemampuan


“Hari ini, kita (PAS) melancarkan rombongan kita untuk menyampaikan bantuan ke Gaza, bantuan kita (PAS) sekadar kemampuan

“Saya menulis surat kepada Perdana Menterinya, Ismail Haniyeh dan menyatakan itulah sekadar kemampuan yang mampu diberikan kepada penduduk di Gaza dan rakyat Palestin.

“Kita (PAS) yakin dan percaya dengan bantuan yang ‘barakah’ ini menjadi kekuatan kepada mereka. Di samping bantuan-bantuan dari rakan-rakan seluruh pelusuk dunia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Rombongan Yayasan Amal Malaysia bagi Misi Perubatan dan Kemanusiaan ke Gaza, Palestin di perkarangan Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Katanya, PAS bersama-sama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam lain sentiasa memberi perhatian terhadap isu kekejaman Zionis-Israel terhada rakyat Palestin

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Majlis Syura Muassasah al-Quds menegaskan misi ke Palestin, PAS mempunyai tanggungjawab bagi mempertahankan kerajaan Islam Hamas.

Menurutnya, Parti Islam Hamas telah berjaya dalam pilihan raya yang sah empat tahun lalu tetapi kemenangan itu tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta dikebanyakkan negara Arab

“Untuk Palestin, kita (PAS) mempunyai suatu tanggungjawab untuk mempertahankan kerajaan Parti Islam Hamas, yang telah menang pilihan raya secara sah empat tahun yang lalu.

“Tetapi kemenangannya (Hamas) tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan tidak diiktiraf oleh dikebanyakkan negeri Arab. Hamas menang pilihan raya hingga boleh menguasai Palestin,

“Kemenangan mereka (Hamas) tidak diiktiraf semata-mata kerana menangnya Islam. Sehingga terpaksalah mereka menubuhkan kerajaan di Gaza, sebagai pengkalan bagi jihad di Palestin dan melaksanakan pemerintahan Islam mengikut sekadar kemampuan mereka,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan Gaza adalah satu kawasan yang sempit sebagaimana satu daerah serta mempunyai penduduk yang padat.  

Menurut Ustaz Abdul Hadi, sudah tentulah kehidupan umat Islam di Gaza itu sangat susah serta memmerlukan bantuan

“Mereka (rakyat) dikepung dari segenap penjuru, bukan sahaja bantuannya disekat (Zionis-Israel) sejak beberapa tahun. Bahkan, dilancarkan peperangan dan telah dua kali berlaku peperangan hingga mengorbankan beribu-ribu rakyat di Palestin.

“Namun, mereka (Hamas) masih boleh bertahan hingga ke hari ini dan berlaku sedikit kelonggaran apabila Islam menang di Mesir,” ujarnya.

Maka, kata Dato’ Seri Adul Hadi, Mesir kini satu-satunya menjadi pintu masuk untuk menghantar bantuan serta rombongan ke Gaza, Palestin.

Rombongan 11 orang sukarelawan Yayasan Amal Malaysia termasuk seorang wakil Harakah akan berlepas ke Gaza, Palestin pada 15 hingga 24 Disember yang diketuai oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia cawangan Terengganu, Dr Suhazeli Abdullah.

Rombongan Amal Malaysia itu turut membawa sepucuk surat dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) oleh Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Perdana Menteri Palestin, Ismail Abdel Salam Ahmed Haniyeh.

Ulasan