Perjuangan Kebangsaan dan slogan 'Hidup Melayu' Tidak Ada Nilai Kemanusiaan

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan perjuangan berorentasikan kebangsaan apa pun tidak ada nilai langsung disisi Tuhan pada hari akhirat kelak.

Malah, katanya, Nabi Muhammad SAW sendiri menggunakan pendekatan agama bagi memikat hati manusia kepada Allah SWT.

Menurutnya, dalam al-Quran sendiri dari mula hingga akhir tidak ada sepatah ayat pun yang menyokong perjuangan kebangsaan.


Beliau berkata Umno selalu mengatakan PAS memperalatkan agama, namun begitu, apakah yang digunakan oleh nabi agung Muhmammad SAW selaku pemimpin unggul?

Bukankah nabi Muhammad menggunakan Islam dalam pentadbiran negara Madinah?

Nabi Muhammad tidak guna demokrasi atau kebangsaan Arab atau apa-apa fahaman lain selain Islam dan Nabi Muhammad sendiri menggunakan pendekatan agama untuk ‘paut’ manusia kepada Allah kerana dunia ini bukan manusia yang punya tapi Allah yang buat.

Kita sebagai manusia hanya menumpang di bumi Tuhan, Allah SWT.

Oleh itu, Tok Guru Nik Aziz berkata, cara menarik orang kepada Allah tidak boleh dengan semangat kebangsaan Melayu dan tidak boleh dengan kebangsaan Arab atau kebangsaan apa sekali pun, tetap tidak boleh.

Oleh itu, Kebangsaan Arab, kebangsaan Melayu, kebangsaan Cina itu serupa sahaja, tidak ada harga.

Satu sen pun tidak ada nilainya di sisi Allah, ditambah lagi pula, perlakuan Melayu sekarang yang menunjukkan nilai-nilai yang menjijikkan.

Tok Guru Nik Aziz berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 6.0 di Dataran PGU Paka, Simpang Santong, Dungun, pada 15 Disember, dua hari lalu.

Justeru, Tok Guru Nik Aziz, menasihatkan Umno, sebuah parti Melayu, agar tidak terus-menerus bergantung kepada perjuangan kebangsaan Melayu.

Terbukti, slogan ‘hidup Melayu’ yang selalu dibanggakan itu sama sekali tidak sesuai jika dilaungkan dalam masjid.

Kerana dalam sebuah masjid mungkin ada orang Cina Islam dan orang India Islam atau pun bangsa-bangsa lain yang beragama Islam.

Sekiranya dilaungkan hidup Meyu, adakah bangsa-bangsa lain tidak layak untuk hidup dan adakah bermaksud bangsa-bangsa lain harus mati!

Ulasan