Perusuh Mengamuk Di tiga Lagi Bandar di Myanmar

MEIKHTILA (Myanmar): Kumpulan perusuh anti-Muslim mengamuk di tiga lagi bandar kawasan tengah negara majoriti penganut agama Buddha ini hujung minggu lalu dan memusnahkan masjid serta membakar berpuluh rumah.

Kejadian itu berlaku walaupun terdapat usaha pemerintah cuba menghentikan keganasan terbaru antara kaum di negara itu.

Presiden Myanmar, Encik Thein Sein, telah mengumumkan perintah darurat di tengah Myanmar Jumaat lalu dan mengerahkan askaraskar ke bandar Meikhtila, yang paling teruk terjejas, dengan 32 orang terbunuh dan 10,000 penduduk Muslim kehilangan tempat tinggal.



Namun, sedang askar pemerintah cuba memulihkan keadaan setelah kekacauan berlaku beberapa hari, di mana kumpulan penganut Buddha bersenjata membakar kawasan tempat tinggal orang Islam, keganasan merebak ke selatan ke arah ibu kota Myanmar, Naypyidaw.

Seorang penduduk Muslim di Tatkone, sekitar 80 kilometer dari Meikhtila, berkata sekumpulan 20 lelaki menggeledah sebuah masjid setingkat di situ lewat malam kelmarin, melempar batu dan memecahkan tingkap sebelum pasukan tentera melepaskan tembakan mengusir mereka.

Bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan atas sebabsebab keselamatan, beliau berkata beliau percaya kumpulan itu bukan berasal dari Tatkone.

Sehari sebelum itu, sekumpulan perusuh lain telah membakar sebuah masjid dan 50 rumah di bandar Yamethin berdekatan, lapor televisyen rasmi Myanmar.

Pada hari yang sama, lebih jauh ke selatan di bandar Lewei, sebuah lagi masjid dan beberapa bangunan dimusnahkan.

Keganasan antara kaum yang meningkat itu membayangi pentadbiran Encik Thein Sein, yang sedang cuba melaksanakan perubahan demokratik di negara Asia Tenggara yang diperintah junta tentera hampir setengah abad itu dan hanya menikmati pemerintahan awam dua tahun lalu.

Keganasan serupa telah menggegar wilayah Rakhine, barat Myanmar, yang melihat pertempuran antara golongan Buddha Rakhine dengan kumpulan etnik Rohingya Muslim.

Keganasan itu telah meragut nyawa beratus jiwa dan menyebabkan 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Keganasan antara kaum di luar wilayah Rakhine merupakan perkembangan membimbangkan dan menunjukkan bahawa sentimen anti-Muslin semakin meningkat di seluruh negara sejak tahun lalu dan jika dibiarkan mungkin akan merebak. - AP.

Ulasan