Pasar Besar Kedai Payang; Rakyat Terus Suarakan Bantahan

http://buletinonline.net/images/stories/aberita21/selamatkan%20pasar%20payang.jpgKUALA TERENGGANU - Persatuan Pelancongan Terengganu menyarankan Kerajaan negeri Terengganu mempertimbang semula rancangan merobohkan Pasar Besar Kedai Payang untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah hotel.

Pengerusinya Wan Supian Wan Ishak berkata ini kerana Pasar Besar Kedai Payang merupakan bangunan ikon dan warisan negeri.

"Kalau kerajaan negeri roboh bangunan itu, bermakna hilanglah sebuah bangunan warisan. Kerajaan tidak perlu roboh Pasar Payang.

"Kerajaan mempunyai banyak lagi pilihan seperti kawasan tambakan di Kampung Seberang Takir seluas 140 hektar di mana kerajaan boleh bina hotel bertingkat-tingkat di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung kali ke-24/2013 Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu di sini hari ini yang disempurnakan Pengarah Pelancongan Terengganu Mohd Sabri Zakaria.

Wan Supian berkata adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengeluarkan peruntukan membaiki atau membaikpulih ikon negeri itu tanpa menjejaskan konsep asal.

Pasar Payang merupakan satu daripada destinasi yang mendapat perhatian pelancong yang berkunjung ke negeri ini, katanya.

Beliau berkata keadaan fikizal Pasar Payang pada umumnya masih lagi baik dan tahan, kecuali struktur di bahagian menjual ikan yang didapati tidak selamat dan perlu diperbaiki.

"Kami berpendapat kawasan itu boleh dibaiki atau dibuat tapak baharu supaya selamat," katanya di petik agensi Bernama.

Dalam perkembangan yang sama, PAS memperkasa usaha mengekalkan warisan di negeri Terengganu, termasuk kempen memulihara dan mengekalkan Pasar Besar Kedai Payang.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu YB Dr Alias Razak berkata, PAS seiring dengan kehendak rakyat mendesak kerajaan negeri membatalkan rancangan meroboh Pasar bersejarah tersebut.

Katanya, melalui Lujnah Hal Ehwal Dun, PAS telah menugaskan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah supaya meningkatka usaha mempertahankan pasar itu.

"Dalam mesyuarat Lujnah hal Ehwal Dun pada Khamis kita telah menugaskan secara rasmi, Raja Datuk Kamarul Bahrin bagi meningkatkan usaha memulihara warisan di negeri Terengganu, khususnya Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi fokus ramai pihak sekarang,"ujarnya ketika dihubungi.

Menurutnya, tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini cuba mengalihkan tumpuan aktitiviti perniagaan dari Pasar Kedai Payang kepada Bazar Warisan yang dbina dengan dengan kos RM17 juta telah gagal.

Ulasan