Zaman ‘Kegelapan’ Adalah Khianat Umno-BN Terhadap Kerajaan dan Rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU - PAS menyangkal dakwaan Perdana Menteri sementara, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak jika rakyat memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, rakyat Terengganu akan mengahadapi zaman kegelapan.

Penolong Setiausaha Agung PAS yang juga mantan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata dakwaan Najib adalah dangkal dan tidak benar sama sekali.

“Kenyataan Perdana Menteri itu jika Pakatan Rakyat menang dan kembali memerintah Terengganu, negeri ini akan kembali ke zaman ‘kegelapan’ itu suatu kenyataan yang cukup-cukup dangkal.

“Rakyat Terengganu menyokong PAS-Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum yang ke-13 ini adalah untuk masa depan rakyat Terengganu yang lebih baik, lebih cerah dan lebih telus.

“Kita (PAS) akan membawa ‘zero’ (kosong) salahguna kuasa, ‘zero’ terhadap penyelewengan. Maka, jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat di negeri Terengganu ini, kita akan mentadbir negeri dengan lebih baik dan akan menguruskan hasil sumber minyak untuk kebaikkan rakyat Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga meruapakan calon PAS bagi kerusi N.16 Dun Batu Batu Burok berkata demikian ketika diminta mengulas perkara tersebut, selepas berkempen di Kampung Cina, dalam dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, dekat sini, semalam 1 Mei.

Sebaliknya, menurut Dr Syed Azman, apa yang berlaku waktu pemerintahan kerajaan PAS Terengganu diantara tahun 1999 higga 2004 adalah hasil tindakan 'khianat' Umno dan Barian Nasional terhadap kerajaan dan rakyat negeri Terengganu.

Katanya, royalti minyak telah disekat dan dirampas oleh kerajaan BN di peringkat Persekutuan menyebabkan kerajaan Terengganu kehilangan sumber pendapatan

Namun, katanya, kerajaan PAS Terengganu masih boleh mentadbir negeri dengan baik serta melaksanakan pentadbiran yang lebih telus tanpa rasuah.

“Apa yang berlaku waktu PAS mentadbir (Terengganu) mereka (kerajaan BN) telah menyekat royalti minyak negeri Terengganu. Itu pun kita (PAS) dapat mentadbir negeri dengan lebih baik, melaksanakan pentadbiran dengan lebih telus dan tidak ada satu pun kes rasuah semasa PAS memerintah Terengganu satu penggal itu.

“Walau pun tanpa royalti minyak kita (PAS) dapat memberi balik (pulangan) kepada rakyat negeri Terengganu seperti kita beri tanah, kita menghapuskan cukai pintu rumah kediaman kepada isi rumah rakyat Terengganu.

“Kita (PAS) dapat menaikkan elaun imam-imam dan bilal seluruh negeri Terengganu. Kita dapat juga memberi bantuan kebajikan kepada rakyat yang miskin,” ujarnya, yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu sewaktu PAS memerintah.

Beliau turut menempelak sikap kepimpinan Umno Terengganu yang lebih memperkayakan kroni-kroni di kalangan pemimpin BN dengan hasil minyak negeri ini.

Menurutnya, kerajaan PAS-Pakatan Rakyat berjanji jika diberi mandat memerintah semula segala kekayaan negeri akan dikembalikan bagi kepentingan rakyat Terengganu.

“Bukan sebagaimana yang berlaku sekarang. Hasil minyak (petroleum) yang ada sekarang tidak menjamin kepada rakyat negeri Terengganu.

“Tetapi memberi kekayaan kepada kroni-kroni dan kekayaan kepada pemimpin-pemimpin Umno-BN sahaja. Bagi kita (Pakatan Rakyat), jika kita dapat kuasa kita akan kembalikan segala kekayaan negeri Terengganu ini untuk kebaikan rakyat Terengganu, Insya’Allah,” tegasnya

Ulasan