Bina Dulu Bangunan Baru Hospital Kemaman

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Mesy%20Adun%2013%20Jun%202013.jpgKUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai YB Haji Hanafah Mat menggesa kerajaan meneruskan pembinaan bangunan baru hospital Kemaman di bandar Chukai sebagaimana yang telah diluluskan pada tahun 2009.

Beliau berkata, ia akan dapat memenuhi keperluan rawatan kesihatan para penduduk yang semakin meruncing sebelum pembinaan hospital baru bagi daerah tersebut yang dirancang akan dibina di Kijal.

"saya melawat hospital (Kemaman) pada minggu lepas dan dimaklumkan kerajaan telah meluluskan pembinaan bangunan baru (setinggi) empat tingkat untuk menambh keperluan wad pesakit pada tahun 2009,

"tapi apabila Menteri Kesihatan mengumumkan pembinaan hospital baru di Kijal pada tahun 2011, pembinaan wad empat tingkat itu jadi 'senyap' begitu sahaja,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang diadakan di pejabat PAS Terengganu di Taman Seri Intan, dekat sini hari ini, Khamis 13 Jun.

[Gambar - YB Haji Hanafiah, tiga dari kiri, dalam mesyuarat Adun-adun PAS bagi persediaan Majlis Angkat Sumpah dan Sidang Dewan Undangan Negeri yang akan diadakan bermula pada 16 Jun, Ahad depan]


Menurutnya, bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera pada 15 Mei, 2009 telah berkata, selain pembinaan bangunan baru, beberapa pakar perubatan juga akan ditambah untuk kemudahan pesakit.

Namun, kata beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu, cadangan tersebut seolah-olah 'dibatalkan' selepas Menteri Kesihatan melawat hospital Kemaman pada 12 Februari, 2011 dan mengumumkan pembinaan hospital baru di kawasan seluas 50 ekar di Kijal.

"jadi, oleh kerana keperluan rawatan di wad yang mendesak buat masa ini, saya mewakili penduduk Kemaman khususnya DUN Chukai berharap pembinaan bangunan tambahan itu diteruskan, kerana sehingga kini tidak pasti lagi bila hospital baru di Kijal itu akan dibina,

"tidak ada ruginya kalau diteruskan untuk orang Chukai dan Kemaman, kerana kalau tak ada (industri Petroleum) Kemaman, orang Kuala Lumpur pun 'akan bergelap',"jelasnya.

Beliau berkata, kemudahan yang dinikmati oleh penduduk Kemaman khususnya yang diberikan oleh hospital Kemaman sekarang amat menyedihkan berbanding sumbangan daerah itu kepada ekonomi dan pembangunan negara.

Katanya, kebanyakan peakit yang dirawat di wad hospital tersebut terpaksa dibenarkan pulang lebih awal, sebelum pulih sepenuhnya, kerana tidak cukup kemudahan katil dan petugas.

Ulasan