Demontrasi Aman Satu Cara Menegur Pemerintah

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/tokguru2.JPGMARANG - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demontrasi aman merupakan salah satu dari cara rakyat menegur dan mengkritik kerajaan dan menjadi amalan di negara barat seperti England dan Amerika yang membenarkannya, dengan syarat tidak melakukan huru-hara serta keganasan.

Namun, kata Ustaz Abdul Hadi, demontrasi aman yang dianjurkan di negara ini sering kali dicemari dengan provokasi serta ‘ketakutan’ di pihak kerajaan.

“Apa kita (kerajaan) takut dengan demontrasi ini aman. Sepatutnya, kerajaan yang ‘sihat’ dia terbuka untuk orang tegur dia, orang kritik dia.

“Rakyat yang tidak puas hati, dia (kerajaan) tahu apa yang rakyat tidak puas hati itu dan dia buat perubahan. Dia (kerajaan) bukan Tuhan tahu segala-galanya dan jika dia (kerajaan) bukan Tuhan, melalui demontrasi apa yang dia tidak tahu akan jadi tahu dan boleh buat perubahan.

“PAS menghormati demokrasi. Di England umpamanya, di Amerika dan di negara barat ada tempat (perkara) yang kita (Islam) boleh ikut dan ada tempat yang kita tidak boleh ikut dia (barat).

“Di sana, dibenar demontrasi cuma jangan pecah pasu bunga, taman-taman, pecah kedai itu tidak boleh. Polis kawal dan orang buat demontrasi, dilepas dia (rakyat) punya perasaan dia…habis.

“Ini belum apa-apa lagi sudah dihentam dengan gas dan provokasi. Saya tahu ada provokasi dan saja hendak buat huru-hara,” tegas beliau pada satu sidang media di kediamannya di Rusila Marang, hari ini.

Dato’ Seri Abdul Hadi berkata demikian mengulas tindakan penganjur Pakatan Rakyat dan Ngo Black 505 yang akan mengadakan Perhimpunan Aman Blackout 505 di Padang Merbuk, ibu negara Kuala Lumpur, pada 22 Jun.

Menurutnya, tidak ada sebab kerajaan enggan membenarkan perhimpunan aman tersebut yang bertujuan mendesak kerajaan menjalankan pilihan raya dengan bersih, adil dan telus.

“Saya difaham perundingan sudah dibuat dari masa ke semasa dan perhimpunan itu adalah perhimpunan aman. Tak ada sebab mengapa perhimpunan aman itu tidak dibenarkan.

“Saya dimaklumkan ada ‘permainan’ juga kerajaan (BN) pun, umpamanya minta (mohon) situ tak boleh, minta sini tak boleh…(akhirnya) minta Padang Merbuk. Tarikh asal 15 Jun terpaksa ditunda kepada 22 Jun.

“Tiba-tiba, kerajaan pun ada cadangan hendak guna tempat yang sama dengan pihak penganjuran (Blackaout 505) ini..tak bolehlah (kerajaan) buat macam itu,” ujarnya kepada pihak media.

Ulasan