PAS Sedia Hadapi PRK Kuala Besut

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/yahaya%20Ali.pngKUALA TERENGGANU - PAS bersedia menghadapi pilihanraya kecil Kuala Besut yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia selaras dengan peruntukan undang-undang dan sisitem demokrasi ekoran kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Setiausa Badan Perhubungan PAS Terengganu Haji Yahaya Ali [Gambar] yakin, rakyat negeri Terengganu khususnya para pengundi Kuala Besut masih dalam 'mood' mahu berubah, berdasarkan keputusan pilihanraya umum kali ke-13 yang lalu.

"PAS bersedia hadapi PRK Kuala Besut kerana memnuhi peruntukan undang-undang dan sistem demokrasi ekoran kerusi tersebut yang osong kini, kita yakin 'mood' rakyat nak lihat perubahan bersama kita,

"dan keputusan 'menang' adalah penting (bagi PAS Terengganu khususnya) kerana (ia) akan jadikan kedudukan 16 : 16,"ujarnya ketika dihubungi.

Sehubungan itu,  Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersedia menggerakkan jentera pemuda WP di segenap peringkat bagi memastikan kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil di DUN Kuala Besut meskipun desas desus ia akan diadakan dalam bulan Ramadhan tahun ini.

"SPR tidak menolak kemungkinan PRK Kuala Besut diadakan dalam bulan Ramadhan ekoran kematian ADUN tersebut, Dr A Rahman Mokhtar hari ini. Tempoh 60 hari bermula hari ini dan keadaan terbaik untuk diadakan PRK adalah pada pertengahan bulan Ramadhan ini.

"Ini bermakna, Ramadhan tahun ini bakal mencatat sejarah perjuangan PAS kerana akan sekali lagi bertarung dalam pilihanraya kecil meskipun baru sahaja menjalani PRU ke 13 tidak sampai dua bulan yang lepas,"ujar Timbalan Ketua DPPWP Mohaad Suhaimi Abdul Aziz dalam satu kenyataan media.

Dalam perkembangan yang sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut selepas menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata setakat ini SPR belum menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN dan menjangkakan ia akan diterima dalam tempoh terdekat.

"Selepas itu SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi bila mesyuarat khas akan diadakan. Mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri, Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kekosongan kerusi itu berlaku berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.18 hari ini akibat kanser paru-paru.

"Esok saya akan menyerahkan surat warta kekosongan kepada SPR Terengganu untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia diwartakan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr A.Rahman yang merupakan Pengerusi Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri dimasukkan ke HSNZ sejak Khamis lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Kematian Adun Kuala Besut itu bakal menyaksikan pilihan raya kecil yang pertama selepas PRU13.

Ulasan