PAS Besut Hantar ‘Gelombang’ Kedua Bantu Mangsa Banjir

BESUT – PAS Kawasan Besut menghantar 45 orang sukarelawan ke lokasi banjir di Kemaman bagi membantu misi kemanusiaan yang dilaksanakan oleh PAS di kawasan tersebut.

Menurut Yang Dipertuanya Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad operasi menghantar tenaga petugas dari kawasan tersebut bermula pada 11 Disember.

“ini merupakan ‘trip’ ke 2 selepas berjaya menghantar kumpulan pertama seramai 25 orang bersama bantuan pakaian dan makanan pada 7 Disember yang lalu,

“PAS Kawasan Besut masih berharap agar masyarakat terus memperlihatkan kecaknaan dan keperihatinan kepada mangsa banjir dengan menyumbang tenaga, wang ringgit dan apa sahaja dalam usaha berkongsi kepayahan dan kesusahan yang sedang mereka alami,”ujarnya

(Gambar : kenangan sukarelawan dari Besut di Balai Istiqamah, Cukai, Kemaman sebelum bergerak ke lokasi khidmat)

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap, warga Besut khususnya agar turut membuat persiapan dalam menghadapi musim tengkujuh kali ini.

Katanya, gelombang banjir pertama yang membadai masyarakat Kemaman dan Kuantan merupakan ujian yang tidak dijangka berlaku dan berada di luar kotak pemikiran manusia.

“Sehebat mana pun kita, apabila Allah menghendaki ianya berlaku, maka tiada sesuatu yang mampu menghalang atau membendungnya. Itulah kekuatan yang Allah miliki,”jelasnya

Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih bagi pihak PAS Kawasan Besut di atas sumbangan-sumbangan yang dihulurkan seluruh masyarakat.

Katanya, kredit harus diberi kerana prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Lajnah Kebajikan PAS Kawasan dan Dewan Pemuda PAS Kawasan yang menggerakkan usaha murni tersebut.

Ulasan