28 Januari 2014

ADUN Sura Desak Kerajaan Pertingkat Peranan JKKK

wan hapandi wan nikDUNGUN – Kerajaan negeri perlu mengkaji semula peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersesuaian dengan keperluan masyarakat pada masakini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, YB Wan Hapandi Wan Nik, JKKK pada zaman ini perlu bertindak lebih pro-aktif bagi menyelesaiakn masalah orang kampung.

“Apakah wajar rakyat dibiarkan menghuni bekas kandang kambing selama 10 tahun,?” katanya ketika memberi reaksi terhadap mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada Isnin 27 Januari yang menggambarkan agensi kerajaan tidak mempunyai maklumat tentang kemiskinan rakyat.

Beliau berkata ia adalah memalukan pentadbiran Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said apabila pihak Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) Terengganu seolah-olah terkejut apabila mendapati ada rakyat yang tinggal di ‘kandang kambing’.

“Soalnya di mana perginya JKKK yang sepatutnya menyalurkan maklumat kepada pihak berkenaan supaya hidup mereka lebih terbela tanpa menunggu tempoh yang lama untuk mendapat bantuan,”ujarnya.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu membuka mata terhadap tahap keberkesanan peranan JKKK apabila berdepan dengan kemelut yang sedang melanda masyarakat hari ini.

“Apa yang berlaku di DUN Sura ini, seharusnya membuka mata rakyat di seluruh negeri untuk
menilai kembali peranan JKKK yang sepatutnya berperanan membantu rakyat yang dhaif, apatah lagi yang seagama dan sebangsa dengan mereka, ”

“Saya yakin masih banyak kes yang seumpama ini di seluruh negeri apabila maklumat kesusahan rakyat ini diberi keutamaan penyelesaiannya jika peranan JKKK dipertingkatkan keberkesannya dan saya yakin jabatan kerajaan akan bersegera untuk bertindak apabila maklumat tepat ini disalurkan kepada mereka,” tegas beliau.

Justeru, katanya, rakyat mesti memandang serius perkara tersebut dan jangan lagi terpedaya dengan janji-janji manis apabila tiba pilihan raya, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya, selepas pilihanraya berakhir.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, pembinaan rumah Projek Moswa di kampung Sungai Buaya yang dilancarkan beliau pada Sabtu lalu berjalan lancar.

Beliau mengucapkan terima kasih dan berharap orang ramai tampil untuk sama-sama menunaikan kewajipan membantu sesama insan dalam kehidupan yang semakin mencabar kini.

Tiada ulasan: