Kenyataan Harussani Boleh Meyebabkan Pertumpahan Darah!

Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani bahawa para demonstran pada malam 31 Disember 2013 di Dataran Merdeka baru-baru ini sebagai "bughah" dan "halal darah" adalah amat mendukacitakan.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS, Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali, ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum "bughah" dalam Islam.



“Ia satu penyelewengan fakta tentang hukum-hakam Islam yang sangat ketara dan menyesatkan.

“Bughah atau pemberontak dalam Islam ialah penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam.  Ia termasuk sebagai salah satu kesalahan jenayah hudud dalam Islam,”jelas Ustaz Khairuddin.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan petang ini, Ustaz Khairuddin melontarkan pertanyaan, adakah peserta perhimpunan TURUN berhimpun dengan senjata menentang pemerintah?

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menegaskan, menurut  perlembagaan, takrifan pemberontak adalah merujuk kepada tindakan melancarkan peperangan kepada Yang dipertuan Agong sebagai ketua negara bagi Malaysia.

“Para demonstrator hanya turun dengan tangan kosong dan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup.

“Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah,”ujarnya.

Beliau turut memberi amaran kepada seluruh rakyat Malaysia, kenyataan yang oleh Mufti tersebut  merupakan kenyataan yang sangat berbahaya, yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat.

“Sangat dibimbangi "fatwa" seumpama itu membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat.

“Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini,”katanya.

Ulasan