PAS Rai Anak Yatim Sempena Maulid ar-Rasul

tmp_kam2941(a)-anak yatim1-1602702548KUALA NERUS – PAS meraikan kira-kira 200 orang anak yatim sempena memperingati sambutan Maulidur Rasul 1435 hijrah kerana Islam yang dibawa oleh RasuluLlah SAW lebih 1400 tahun lalu amat menitik berat kebajikan terhadap anak-anak yatim.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata Islam melarang menyakiti anak-anak yatim termasuk memakan harta golongan tersebut.

“Agama kita (Islam) amat mengambil berat kepada golongan anak-anak yatim kerana Nabi Muhammad SAW juga merupakan anak yatim piatu. Kita tidak boleh menyakiti atau memukul mereka kecuali untuk tujuan pengajaran (mendidik).

“Kita (Islam) juga tidak boleh makan harta anak-anak yatim dengan cara yang salah,” ujarnya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1435 H dan Ramah Mesra Bersama Anak-Anak Yatim Parlimen Kuala Nerus, di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Nerus, Pekan Batu Enam, dekat sini, pada 14 Januari.

Menurutnya, golongan anak-anak yatim diberi perhatian yang serius ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.

Kata Ustaz Abu Bakar, banyak peruntukan diberi kepada kumpulan tersebut di negeri ini hingga disaman oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingannya.

“Semasa kita (PAS) jadi kerajaan (Terengganu) dulu (1999-2004), kita ambil berat hal-hal anak yatim ini dan banyak peruntukan diberikan kepada mereka.
tmp_kam2941(c)-anak yatim3-1643669298

“Jika tidak silap saya, RM3 juta setahun waktu itu untuk pengurusan anak yatim. Saya dan Tok Guru (Abdul Hadi Awang) disaman oleh pihak tertentu yang berkepentingan kerana mengambil-alih pengurusan anak yatim di bawah kerajaan negeri,” jelasnya di hadapan 500 orang hadirin.

Antara yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, Ustaz Ridzuan Hashim (Adun Teluk Pasu) dan Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Ustaz Abu Bakar yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Ulamak PAS Malaysia mahukan agar kerja-kerja kebajikan diteruskan oleh ahli parti.

Ini kerana, katanya tema Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-59 “Rahmat Untuk Semua” itu perlu direalisasikan dalam masyarakat.

“Hari ini, sempena kita menyambut Maulidur Rasul yang memperingkatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kita (PAS) meraikan juga kepada anak-anak yatim di Parlimen Kuala Nerus.

“Setiap Dun (Dewan Undangan Negeri) kita beri 50 orang anak-anak yatim dengan sedikit sumbangan wang tunai dan hamper untuk mereka,” ujarnya.

Ulasan