18 Mac 2014

Eratkan Ukhuwwah, Serlah Keindahan Islam

tmp_bola88618296MARANG – Kejohanan bolasepak Piala YB Bukit Payong telah diadakan selama dua hari bermula 14hb dan berakhir pada 15 Mac lalu.

Pertandingan tersebut berlangsung di Padang Bola Kampung Gong Kubur, berdekatan Kampung Paya Resak dekat sini.


Kejohanan anjuran Pemuda PAS Dun Bukit Payong itu, bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara warga Bukit Payong agar dapat membentuk masyarakat yang lebih bersefahaman dan bekerjasama terutama dari kalangan orang muda.

Sebanyak 32 pasukan dari seluruh Dun Bukit Payong telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah RM1500 dan piala dan dilaksanakan berasaskan kehendak syariat iaitu semua pemain mesti menutup aurat.

Menurut penganjur program, saudara Rahim Razali, kejohanan ini akan dicadangkan supaya dijadikan acara tahunan memandangkan sambutan yang diluar dugaan ini.

Tambah beliau, PAS sentiasa peka dengan kehendak golongan muda dan sentiasa berusaha bagi menyediakan platform yang sesuai untuk orang muda mengenengahkan bakat mereka

Pertandingan itu dirasmikan oleh wakil rakyat Dun Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan majlis penutupan serta penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pemuda Dun Bukit Payong Ustaz Zakaria Ismail.

Dalam ucapan perasmiannya Ustaz Mohd Nor berkata sukan adalah salah satu cara bagi Pas mempromosikan parti dikalangan masyarakat terutamanya anak-anak muda.

Kata beliau lagi, tidak perlu bertumbuk atau bergaduh semata-mata kerana merebut hadiah kerana itu bukan dari ajaran Islam, malah sepatutnya melalui sukan persahabatan akan lebih kukuh dibina.

“Tak perlulah kita berbalah atau berkelahi untuk merebut juara kerana bukan itu matlamat sebenar bersukan.

Dengan sukan sepatutnya kita yang dari mempunyai sedikit kawan, menjadi semakin ramai kawan dan bukannya lawan,” ujar beliau.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur kejohanan yang bertungkus lumus mengendalikan kejohanan dengan bersungguh-sungguh serta para penyokong yang memeriahkan lagi kejohanan itu.

Manakala ketika pada ucapan penutup dan majlis penyampaian hadiah, Ketua Pemuda Dun Bukit Payong, Ustaz Zakaria Ismail berkata, kejohanan ini bersandarkan kepada prinsip syariah yang menyerlahkan kecantikan Islam.

“Ukhuwah, menutup aurat serta dalam masa yang sama kita berdakwah kepada masyarakat.
“Inilah kecantikan Islam yang mana kita boleh melakukan apa-apa perkara yang difikirkan baik asalkan selari dengan kehendak syariat,” tegasnya.

Dalam kejohanan itu pasukan tuan rumah, Gong Kubur telah muncul sebagai juara dengan menewaskan pasukan Kedai Buloh di perlawanan akhir manakala pasukan Surau Haji Mat Zain tempat ketiga dan Titian Baru keempat

Tiada ulasan:

Islam dan Hukum Syarak Tidak Mengikat Mahkamah Sivil Dalam Isu Islam?

Keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kesahan meletakkan bin bagi anak tidak sah taraf kepada bapa biologi anak tersebut menimbulkan polemik...