Sampah Melimpah Memalukan Warga Terengganu

sampahmelimpah1KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dikritik dan dikecam oleh pelbagai pihak kerana gagal menguruskan kebersihan dan membiarkan sampah sarap tidak diangkut sehingga membusuk.

Tambahan empat lori ‘compactor’ baharu untuk MBKT yang dibeli pada tahun lalu dilihat gagal melancarkan lagi perkhidmatan kutipan sampah oleh pihak berkuasa tempatan itu.



Di Kampung Cina, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Jefri Chua menyifatkan kegagalan pihak berwajib seperti MBKT mengendalikan pembersihan sampah memalukan.

Ini kerana, katanya isu sampah yang berlonggokan terbiar serta tidak dikutip mengikut jadual boleh mencemarkan status Kuala Terengganu sebuah “Bandaraya Warisan Pesisir Air”.

Menurut Jefri, rungutan penduduk terutama di Kampung Cina, Kampung Lorong Jamil, Kampung Jalan Banggol serta sekitarnya wajar diberi perhatian oleh MBKT.

“Saya sendiri telah meninjau ke beberapa lokasi sampah yang tidak dipungut oleh pihak MBKT setelah mendengar aduan penduduk di Kampung Cina dan sekitarnya.

“Longgokan sampah yang hampir 10 hari lalu tidak dikutip menyebabkan bau busuk, berulat dan boleh membawa penyakit kelak.

“Apa lagi, ini (Kuala Terengganu) sebuah ‘bandaraya warisan pesisir air’ yang semestinya bersih dan cantik mata memandang tetapi tercemar dengan sampah,” jelasnya kepada Harakah.

Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing turut melahirkan rasa dukacita dengan sikap kerajaan negeri kurang prihatin.

Beliau mendakwa telah membuat aduan bagi pihak penduduk di Kampung Cina sendiri kerana tidak tahan dengan bau yang busuk dan tercemar.

“Saya rasa dukacita, aduan telah dibuat sendiri di pejabat MBKT dan mengadu tentang masalah sampah yang tidak dikutip dan membusuk lebih dari satu minggu terbiar.

“Penduduk di Kampung Cina, di Lorong Jamil dan Jalan Banggol tidak tahan dengan bau busuk sampah yang tidak dibersihkan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Menurutnya, masalah sampat tersebut bukan sehari dua yang menjadi rungutan tetapi beberapa minggu berlalu.

Seorang penduduk, Tan Fun Mei, 50, menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu agar lebih prihatin dengan masalah rakyat di negeri ini.

Katanya, meski pun daerah Kuala Terengganu tidak diwakili oleh pemimpin Umno-BN tetapi isu rakyat tidak boleh diabaikan.

“Kita (rakyat) tahulah, di sini (Kuala Terengganu) tidak ada wakil mereka (BN) yang menang tetapi masalah rakyat kena jaga sebagai kerajaan.

“Ini bandaraya bukan kampung di pendalaman dan jika tidak jaga kebersihan, sampah dan bau busuk boleh cemar negeri ini di mata pelancong,” ujarnya.

Tinjauan yang dibuat di beberapa lokasi sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, longgokan sampah bukan hanya terdapat di pusat bandaraya, tetapi juga kawasan sekitar Kuala Nerus dan Manir.

Laman sesawang MBKT mencatatkan, kutipan sampah kutipan sampah dari tong sampah awam dibuat pada setiap hari.

Namun, ia hanya tinggal catatan kerana tindakannya tidak berlaku sedemikian, bahkan sering berlaku di kawasan Batu Enam Kuala Nerus, sampah tidak dituip lebih dari dua hari, terutamanya di hujung minggu.

Hal demikian tidak wajar berlaku di negeri ini kerana Terengganu mempunyai belanjawan tahunannya melebihi RM2 bilion setiap tahun.

Ulasan