Dr Alias Sidang DUN1KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr. Alias Razak menempelak wakil kerajaan, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar ketika ADUN Air Putih itu cuba mengganggu ucapan menjunjung kasih beliau.


Dr. Alias ketka berucap berkata, tahap kesihatan rakyat Terengganu agak teruk situasinya sekarang, ekoran berlaku peningkatan kes denggi yang mendadak berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas .

Menurutnya, dalam titah ucapan Tuanku Sultan ketika merasmikan pembukaan persidangan menyebutkan, kes denggi di negeri Terengganu mencatatkan peningkatan yang sangat besar, dari 48 kes tahun lepas kepada 232 kes tahun ini.

Wakil Air Putih bangun dan cuba membuat perbandingan kes denggi tersebut dengan negeri Selangor dan berkata, dalam makluman beliau kes denggi lebih banyak berlaku di negeri Selangor, berbanding dengan Terengganu.

Dr. Alias yang agak serius menyampaikan ucapannya, membalas gangguan wakil Air Putih itu dengan menegaskan bahawa perbahasan ini adalah dalam DUN Terengganu dan bukannya di negeri Selangor.

“Kita bukan dalam Dun Selangor, ini Terengganu, hak rakyat Terengganu. Kalau Air Putih nak pergi Selangor, silakan, silakan,” tegas beliau yang membuatkan wakil Air Putih terdiam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu turut membangkitkan isu berkaitan dengan wakil rakyat pembangkang yang tidak diberi pengiktirafan, sedangkan mereka dipilih secara sah dalam pilihanraya.

Dr. Alias mencadangkan agar pihak kerajaan memberikan tempat kepada wakil-wakil rakyat pembangkang dalam Majlis Pembangunan Daerah.

Manakala ADUN Tepoh, Ustaz Hishamudin Abdul Karim menyentuh isu berkenaan perlunya diwujudkan Jawatankuasa Hisbah (pemantau) bagi memastikan dan mempertahan nilai-nilai integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Mengambil contoh pembaziran pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, ketelusan kerajaan dipersoalkan apabila kos pembinaan dan baik pulih mencecah ratusan juta ringgit, sedang ia masih belum selesai sehingga kini.

Mencadangkan penyelesaian, Hishamudin mengajak kerajaan agar kembali kepada sistem pentadbiran Islam dengan mewujudkan sistem hisbah sebagaimana yang diamalkan pada zaman nabi Muhammad SAW.

Beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan ruang yang besar bagi melaksanakan tanggungjawab mereka, dengan lebih berkesan lagi.

Ulasan