PAS Terbuka Untuk Bekerjasama Dengan Semua Pihak

haji kamaruddin kunjungi presiden pas2MARANG – PAS sentiasa terbuka dalam menerima sesiapa sahaja sebagai sahabat, tanpa mengira latar belakang mereka asalkan mereka sanggup memberi ruang ataupun kerjasama.


Presidennya Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata ia sesuai dengan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang berusaha menyebar dan mengembangkan Islam.

“Kita bersama bergerak membuang halangan yang ada untuk kelangsungan Islam,”ujar beliau di rumahnya, di kampung Rusila dekat sini pada Rabu, 9 April.

Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika menerima kunjungan ziarah Haji Kamarudin Abdullah, Presiden Peersatuan Dakwah Islam Antarabangsa (Islamic Propagation Society International – IPSI), yang berpejabat di Pulau Pinang

Beliau berkata, tahaluf siyasi adalah satu contoh kerjasama PAS dengan parti-parti politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), memberikan kesan sangat positif apabila mereka mula membaca buku-buku Islam bagi menambah lagi pengetahuan mereka berkaitan Islam.

Katanya, keterbukaan PAS ini adalah salah satu daripada ramuan kejayaan parti itu, dalam mendepani halangan-halangan politik semasa iaitu saling lengkap melengkapi keperluan diantara masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau menyarankan agar pendakwah-pendakwah memberikan kefahaman melalui penerangan kepada sasaran dengan fakta, hujah dan dialog, bukannya dengan serangan.

Katanya, tidak ada sebab untuk mereka menolak Islam, sekiranya dakwah digerakkan melalui organisasi yang tersusun.

“Maka tiada sebab sasaran dakwah itu akan menolak Islam selepas mereka difahamkan dengan fakta-fakta yang jelas tentang kebenaran Islam,”jelasnya.

Sehubungan itu, Haji Kamarudin Abdullah melahirkan rasa gembiranya kerana diraikan sebagai tetamu oleh Ustaz Abdul Hadi selaku Presiden PAS.

“saya rasa gembira kerana Tok Guru menerima kunjungan saya dan dengan kesanggupan kerjasama dari pihak PAS,

“ini kali pertama saya datang ke negeri Terengganu bagi mengadakan program penerangan berkenaan berdakwah kepada bukan Islam,”katanya.

Ulasan