Penduduk Gotong Royong Siapkan Jalan Tanpa Bantuan Kerajaan

MARANG – Walaupun tiada peruntukan yang diberikan kepada penduduk di Kampung Alor Parit bagi membina jalan, namun dengan kerjasama seramai kira-kira 30 orang penduduk setempat, maka sebatang jalan sepanjang kira-kira 400 meter berjaya disiapkan.

Menurut Mohamad Ismail, orang yang mengetuai rancangan ini, jalan tersebut dibina demi kerana memudahkan pelbagai pihak berulang alik ke hujung kampung Alor Parit yang mempunyai banyak tanaman di situ.
Tambah beliau lagi, jalan ini juga akan menyenangkan penduduk yang tinggal di hujung kampung untuk terus ke jalan utama Tok Dir dan Undang dan juga memudahkan kerja-kerja pembinaan rumah yang sedang dibina di kawasan itu.
Sebelum adanya jalan ini, penduduk terpaksa melalui jalan kampung yang ada yang sedikit jauh dan kehadiran lori-lori bagi pembinaan rumah yang melalui jalan itu, memberikan sedikit gangguan kepada penduduk.
Jalan yang dibina itu adalah di atas tanah-tanah sawah penduduk kampung yang dengan sukarela menyerahkannya bagi tujuan membina jalan ini.
Ditanya kenapakah tidak memohon peruntukan dari JKKK dari kampung tersebut, beliau menjawab, peruntukan sudah dimohon tetapi setelah dua tahun, tiada peruntukan yang diberikan oleh pihak berkenaan.
“Doh (sudah) mitok (minta) pah (lepas) setahun, setahun.
Tanah orang (kampung) beri belaka doh, saya tadbir belaka, makna mitok stamet (peruntukan) je,” kata beliau.
Beliau berpendapat JKKK gagal memainkan peranannya dengan menyukarkan proses permohonan peruntukan jalan ini dengan pelbagai alasan.
Bertolak dari itu, beliau memutuskan jalan tersebut hanya boleh disegerakan dengan cara gotong royong kerana tiada kerjasama yang baik dengan JKKK dan agensi kerajaan yang lain dalam hal pembinaan jalan ini.
Kira-kira RM6000 telah dibelanjakan bagi membina jalan yang masih belum ditar ini dan ianya berjaya disiapkan dalam masa sehari sahaja.
Menurut Mohamad, jalan ini sudah lama disiapkan tetapi baharu dirasmikan oleh Wakil Rakyat Dun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Ulasan