Solat Hajat Mohon Allah Permudahkan Perbicaraan Melibatkan Presiden PAS

mahkamahKUALA TERENGGANU – PAS menyeru semua ahli dan juga penyokongnya agar beramai-ramai melakukan solat hajat memohon Allah memberi kemudahan kes perbicaraan perintah ingkar mahkamah melibatkan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Gur Abdul Hadi Awang, yang akan berlangsung pada 14 April ini.


“sama-samalah kita berdoa agar Tuan Guru Presiden akan diselamatkan oleh cubaan dari pihak-pihak yang ingin memalukan dan menjatuhkan imej Tuan Guru,”kata Ketua Penerangannya, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Beliau turut melahirkan rasa simpati kepada seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana menurutnya, arahan penasihat parti meraka, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak didengari dan ditaati oleh ahli dan cabang PKR sendiri.

“Saya juga melahirkan rasa simpati yang teramat kepada seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana arahan penasihat parti mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak didengari dan ditaati oleh ahli dan cabang PKR sendiri sehinggakan DSAI mula dianggap berbohong.

“Alhamdulillah tarbiyyah yang sering kita adakan walaupun dipandang sebagai langkah yang tidak perlu, membuktikan ahli-ahli PAS dididik supaya taat kepada pimpinan dalam perkara kebaikan seperti ini,”ujarnya.

Katanya, Presiden PAS dan PAS secara keseluruhannya tidak pernah merayu dan menagih simpati mana-mana pihak agar dihapuskan saman ini kerana sememangnya Tuan Guru Presiden tidak bersalah dalam hal ini.

“Ini kerana beliau tidak pernah membuat tuduhan kepada sesiapa secara khusus malah tidak pernah menyebut nama sesiapapun dalam ceramah beliau di Kampung Tebakang semasa kejadian.

“Oleh itu saranan meminta maaf kepada individu-individu tertentu dalam isu ini, adalah jauh dari kewarasan berfikir seorang insan yang normal,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Rabu 9 April.

Beliau berkata, kes tersebut sebenarnya, sangat mudah untuk diselesaikan tetapi ada pihak-pihak yang berkepentingan cuba menangguk di air yang keruh.

“Jika dilihat seseorang dari parti yang lain yang turut dikaitkan oleh sesetengah pihak sebagai orang yang dimaksudkan oleh Tuan Guru dalam ceramahnya itu,

“tidak pernah kedengaran untuk menyaman Tuan Guru kerana pastinyalah dia berfikiran waras disebabkan Tuan Guru tidak pernah menyebut namanya dan pastinya dia tidak terasa kalau dia bukan pelakunya,”ujarnya lagi.

Oleh itu, beliau sekali lagi menyeru agar dilakukan solat hajat di masjid-masjid, surau-surau, markas-markas ataupun juga di rumah-rumah agar kejahatan niat orang yang berniat jahat dapat dipatahkan dengan kehendak Allah.

Ulasan